Selepas High Council, Amir Ahnaf ‘terbang’ ke Indonesia

SELEPAS Rumah Iblis, syarikat produksi tempatan, 4WARD Pictures bakal hadir dengan sebuah filem seram terbaharu berjudul The Parcel.

Dibintangi Atiqah Hasiholan dan beberapa bintang ternama Indonesia lainnya, The Parcel yang diarahkan oleh Andi Bachtiar Yusuf itu sudah pun memulakan penggambaran bermula 27 Julai di beberapa lokasi di Jakarta, Indonesia.

Eksekutif produser 4WARD Pictures, Nashrul Nasir dan Alif Nabil mempunyai alasan tersendiri mengapa pihaknya memilih untuk mempersembahkan filem seram di negara jiran.

“Filem horror (seram) mempunyai nilai yang besar berdasarkan kepada permintaan daripada penonton. Naskhah sedemikian masih diminati dan mudah difahami berdasarkan kepada penceritaannya.

“Malah 4WARD Pictures merasakan wujudnya persamaan budaya dan nilai antara dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia. Kami juga mendukung filem-filem berkualiti yang ditayangkan di kedua-dua negara,” katanya.

Pemilihan pelakon

Senada dengan Nashrul, Alif juga melihat Indonesia banyak menawarkan keunikan dan keistimewaan dalam konteks sebuah karya filem.

“Dari dulu kami juga sangat minat dengan filem Indonesia dan kini kembali berkesempatan untuk mencipta nama berkembangan di Indonesia,” kata Alif Nabil.

Berkongsi mengenai pemilihan Atiqah Hasiholan sebagai pelakon utama The Parcel, Nashrul menjelaskan pihaknya telah melakukan reset dan uji bakat bagi mendukung watak yang diperlukan.

4WARD Pictures memang mencari bintang yang mampu menyampaikan karakter utama sesuai dengan situasi dan Atiqah dilihat mampu memberikan apa yang diperlukan.

“Pemilihan dilakukan berdasarkan ciri-ciri, imej, kriteria, fizikal selain prestasi lakonan yang dikehendaki,” katanya lagi.

Selain Atiqah Hasiholan, The Parcel turut dibarisi pelakon hebat seperti Baim Wong, Putri Ayudya dan Whani Dharmawan selain bintang Malaysia, Nora Danish dan pelakon baharu yang kian meningkat naik, Amir Ahnaf.

Peluang berharga – Amir

Amir berkata, pertama kali berlakon bersama produksi dan pelakon luar (Indonesia) memberikan pengalaman sangat berharga buat dirinya.

“Siapa sangka daripada High Council membawa saya berlakon dengan orang atau produksi luar.

Saya tidak sabar untuk berkongsi lebih lanjut tentang The Parcel, namun buat masa sekarang, masih terlalu awal untuk bercerita tentang watak saya dalam naskhah ini.

“Apa yang pasti, filem ini akan membuka lebih peluang buat pelakon seperti saya terus melebarkan sayap dan terus memberi yang terbaik buat para penyokong dan peminat di luar sana,” kata pemenang BBNU Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu.

The Parcel mengisahkan tentang wanita bernama Radha, yang bertugas sebagai wartawan foto atau photojournalist. Nasibnya berada di hujung tanduk susulan satu kes.

Atas desakan kewangan, Radha dan anak lelakinya perlu mencari sebuah rumah yang lebih murah sewanya. Lalu, mereka mendiami sebuah rumah di dalamnya turut mempunyai sebuah bilik yang dikhaskan untuk memproses filem negatif.

Tiada jiran yang mendedahkan mengenai kisah lama pemilik rumah terdahulu sebelum mereka mendiaminya.

Misteri berlaku apabila Radha menerima satu kiriman bungkusan tanpa nama dan alamat yang jelas. Atas rasa ingin tahu, Radha membuka kiriman berkenaan.

Lalu, tercetuslah pelbagai kejadian menakutkan, antaranya jiran yang tiba-tiba ditemukan mati dalam keadaan yang dahsyat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok