Scha Alyahya tolak lakonan, enggan susahkan produksi

SAAT akhir diberi tugasan untuk menemu bual pelakon dan model jelita, Scha Alyahya membuatkan hati penulis sedikit gusar memikirkan portfolio wanita tinggi lampai itu yang sudah kukuh membina nama dalam industri.

Namun mendekati anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, orangnya cukup peramah, keperibadian yang yang ditonjolkannya jauh meleset daripada apa yang tergambar dalam fikiran sebelum ini. Pandai betul pelakon Awan Dania itu membawa diri.

Selepas kali terakhir muncul dalam filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa sekitar September tahun lalu, nama Scha seakan-akan menyepi daripada kanvas seni hiburan.

Bukan sengaja memperlahankan rentak kerjaya, Scha sebenarnya memilih untuk memberi ruang kepada perkara lain, terutama keluarga.

“Saya ada, tidak memperlahankan rentak seni. Cuma saya memilih untuk prioritikan perkara lain.  Selain berlakon, saya ada banyak komitmen yang memerlukan saya untuk ‘keluar’ dari Malaysia (sebagai duta produk).

“Kalau tiba-tiba ditawarkan berlakon dalam drama atau filem, saya terpaksa tolak secara baik.

“Lagi pun saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi,” katanya yang bakal terbang ke Venice, Itali pada penghujung bulan ini untuk menghadiri Festival Filem Antarabangsa di sana selama seminggu.

Melanjutkan bicara, Scha juga mahu meletakkan nilai eksklusif, selain memberi komitmen utama kepada keluarga.

Sebagai ibu kepada dua orang cahaya mata, Scha berkata, dia perlu bijak membahagikan masa walaupun mengakui terasa rugi meletakkan kerjaya di posisi kedua.

BAGI menjaga nilai eksklusif, Scha meletakkan kerjaya di tempat kedua selepas keluarga.

“Selain mahu kekalkan nilai eksklusif, perkara utama yang perlu saya dahulukan adalah keluarga. Saya tidak kata berlakon itu tidak penting. Cuma saya perlu bijak bahagikan masa.

“Tipu kalau saya tidak rasa rugi apabila meletakkan kerjaya di tempat kedua. Misalnya kalau saya dapat berlakon dalam sebuah drama berpuluh-puluh episod, bayaran yang saya terima pun banyak,” ujarnya sambil ketawa.

Selepas 17 tahun mewarnai dunia seni hiburan tempatan sebagai pelakon dan juga model, nama bekas pemenang pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 masih kekal relevan, malah menjadi antara pilihan banyak jenama besar untuk melantiknya sebagai ‘wajah’ produk.

Persaingan

Kehadiran bintang-bintang baharu juga tidak ‘memadam’ populariti isteri kepada pelakon dan pengacara, Awal Ashaari itu untuk terus kekal relevan.

Tidak menganggap kehadiran muka-muka muda yang menghiasi kanvas seni hiburan hari ini sebagai pesaing, Scha berpendapat situasi sebegitu sudah menjadi kitaran dunia seni hiburan.

“Saya juga pernah menjadi pendatang baharu suatu ketika dahulu. Sebagai selebriti, kita tidak selamanya berada di puncak kerana peredaran masa itu berlaku dan akan ada muka-muka baharu yang akan menggantikan posisi kita suatu hari nanti,” katanya.

SCHA tidak pernah menganggap kehadiran bintang-bintang baharu hari ini memadamkan popularitinya sebagai anak seni.

Dedah selebriti yang digelar sebagai ikon fesyen itu, sejujurnya dia tidak teringin menjadi artis, lebih-lebih lagi bergelar pelakon selepas menjuarai pertandingan Dewi Remaja.

Kata Scha, jiwa dan minatnya bukan ke arah itu lakonan. “Sejujurnya, saya tidak teringin pun nak jadi artis, lebih-lebih lagi pelakon. Enam bulan pertama selepas menang Dewi Remaja, saya masih tertanya-tanya, nak terjun ke bidang seni atau tidak.

“Saya sertai Dewi Remaja pun selepas disuruh oleh ibu. Tapi perancangan Allah SWT itu baik,” ujar Scha yang sentiasa mengingati pesanan ibu bapanya supaya sentiasa menjaga diri.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok