Saya dan Sharnaaz sedang kenal hati budi – Amelia Christie

Sharnaaz Ahmad lelaki yang tegas, itu pendedahan aktres Amelia Christie mengenai perkenalan awal mereka.

Perkara tersebut dikongsikan ketika menjawab soalan pengikut pada sesi siaran langsung di TikTok yang menyaksikannya mempromosikan satu produk minuman.

Pelakon 7 Hari Mencintaiku 2 itu dengan nada malu-malu turut memaklumkan dia dan Sharnaaz berkenalan secara kebetulan tatkala ditanya mengenai detik pertemuan pertama mereka.

Kami ‘terkenal’ (secara tidak sengaja). Tuhan takdirkan kami berjumpa, jadi kami berjumpalah masa itu.

“Kami jumpa ketika penggambaran. Itu sahaja tak ada apa-apa pun,” ungkapnya lagi yang tampak segan untuk bercerita lebih lanjut.

Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, mereka masih dalam fasa berkawan bagi mengenali keperibadian masing-masing dengan lebih mendalam.

“Kami kenal sebagai kawan dan kenal hati budi masing-masing. Sekarang pun masih mengenal hati budi, dia orangnya macam mana, saya pula macam mana,” katanya.

Sebelum ini, kemunculan Sharnaaz bersama Emelia pada Malam Gala Polis Evo 3 memancing perhatian ramai apabila jalan beriringan sambil aktres tersebut merangkul lengannya.

Aktor yang turut membintangi filem berkenaan mengakui mereka rapat namun belum sampai ke peringkat serius.

Begitupun, dalam hantaran di TikTok miliknya, Sharnaaz, 38, kerap merujuk gadis terbabit sebagai tunang walaupun sebelum ini hanya menyatakan video sebuah majlis yang seakan pertunangan sebagai iklan produk sahaja.

Terdahulu, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan kakak kepada usahawan selebriti Neelofa, Noor Nabila pada Mac 2017 namun bercerai pada Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad, yang kini mencecah lima tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok