Raysha Rizrose seronok ada ‘imam’ di rumah

ENAM bulan bertukar status daripada anak dara menjadi isteri orang, si cantik Raysha Rizrose kini menikmati kehidupan yang sungguh membahagiakan.

Raut wajahnya berseri-seri, malah senyumannya juga tidak dibuat-buat.

Menurut pelakon berusia 27 tahun itu, hari-hari yang dilaluinya menjadi lebih bermakna sejak menjadi permaisuri kepada Nabil Jeffri.

Tidak menganggap gelaran isteri sebagai beban berat, Raysha senang melakukan kerja-kerja suri rumah seperti menyediakan makan dan minum buat suami.

“Alhamdulillah perkahwinan saya sudah pun memasuki usia enam bulan. Masih lagi baharu sebenarnya. Tentang kehidupan sebagai seorang isteri, tidak ada banyak perubahan sangat pun.

“Cuma sekarang, saya rasa lebih gembira apabila sudah mempunyai ‘imam’ di rumah. Memikul tanggungjawab sebagai isteri, bagi saya tidak susah pun.

“Lagi pun kami sudah kenal agak lama. Tak ada apa-apa masalah pun,” kata pemilik nama lengkap Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu.

Pada masa sama, adik seibu dengan Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu memberitahu, kehidupan selepas berumah tangga membuatkan dia tidak lagi boleh memikirkan tentang diri sendiri sahaja.

“Kehidupan semasa bujang dan selepas berkahwin memang lain. Bila sudah bersuami, saya tidak lagi boleh fikir tentang diri sendiri sahaja walaupun untuk perkara-perkara kecil.

“Saya kena fikirkan suami juga. Nak bangun pagi pukul berapa pun, kena ingat yang saya sudah pun mempunyai suami. Kena sediakan makan minum dia, kena memasak.

“Alhamdulillah suami pun ada memuji masakan saya. Lagi pun dia tidaklah cerewet sangat,” kata Raysha.

RAYSHA mahu menikmati masa berdua bersama suami selama setahun sebelum melangkah ke fasa berikutnya untuk memiliki zuriat. – FOTO ARIZ RUSADIO

Dengan ceria, Raysha yang seorang penyanyi itu memberitahu, kehidupan selepas berkahwin sebenarnya lebih tenang. Tiada lagi kerisauan melingkari fikiran sebagaimana yang dihadapi sewaktu zaman anak dara.

“Rasa seronok bila pergi mana-mana akan ada orang teman (suami). Keluarga mentua juga baik,” katanya.

Bercakap soal cahaya mata, sejujurnya pelakon yang pernah membintangi drama Bisik-Bisik Gelora itu sedang menunggu tempoh genap setahun sebelum sedia menimang orang baharu dalam hidupnya.

Kata Raysha, dia dan suami telah berbincang tentang perancangan keluarga dan memperuntukkan masa selama setahun untuk menikmati kehidupan sebagai suami isteri.

“Tentang zuriat, sejujurnya saya memperuntukkan tempoh selama setahun sebelum benar-benar bersedia.

“Dalam setahun ini, biarlah saya dan suami menikmati dahulu tempoh ‘bulan madu’. Lagi pun, selepas berkahwin, sehingga sekarang kami masih belum sempat pergi berbulan madu. Insya-Allah, perancangannya pada hujung tahun ini.

“Selepas itu barulah kami bersedia untuk memiliki zuriat,” katanya yang kini sibuk dengan kempen untuk media sosial.

Tentang jumlah cahaya mata pula, Raysha memberitahu empat anak sudah cukup buatnya dan juga suami.

“Kami kisah juga tentang jumlah anak. Kalau boleh, tidak lebih daripada empat orang. Itu pun sudah memadai,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok