Pukau Borneo, Shila Majid buat penonton tersenyum

HAMPIR empat dekad berbakti sebagai anak seni, penghibur tersohor, Datuk Sheila Majid berjaya mengekalkan takhtanya sebagai Ratu Jazz Malaysia.

Setakat ini belum ada yang mampu merampas gelaran itu daripada tangannya bahkan penyanyi berusia berusia 58 tahun itu tidak menang tangan memenuhi undangan menjayakan persembahan.

Meneruskan deras langkah kanvas seninya, Sheila diterbangkan ke Kota Kinabalu menerusi penganjuran Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kota Kinabalu.

Masih hebat dan lancar berbicara melayan kerenah peminat, ‘taring’ muzik Sheila kekal berbisa.

Menghiburkan lebih 2,500 penonton, Sheila atau nama lengkapnya, Shaheila Abdul Majid mengalunkan listrik vokal emasnya menerusi dendangan lebih 20 lagu malar hijau.

PESONA Sheila Majid tak pernah luntur, menjadi pujaan ramai hingga kini.

Berlangsung hampir tiga jam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 12 Ogos lalu, konsert anjuran Firm Horizon Sdn. Bhd. itu turut disaksikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Seri Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Julia Salag.

Anggun menggayakan dua persalinan rekaan pereka fesyen terkenal, Michael Ong, Sheila membuka tirai persembahan menerusi lagu Ada-ada Saja dan Embun. Terbukti energi figura itu masih berbisa walaupun usia hampir mencecah angka 60 tahun.

Atmosfera konsert terus menjadi gamat tatkala isteri kepada Datuk Acis itu menyampaikan lagu Memori, Pengemis Muda, Jelingan Manja dan Emosi.

Penerima Anugerah Sri Wirama Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 (AIM22) itu kemudiannya mendendangkan lagu Gerimis Semalam, Kepergianmu dan Di Suatu Persimpangan secara medley.

Kehangatan malam itu bagai tidak berhenti apabila semua penonton berdiri dan menyanyi bersama tatkala Sheila mengalunkan lagu-lagu popularnya seperti Lagenda, Ku Mohon, Cinta Jangan Kau Pergi, Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Dia serta Warna.

Kemuncak konsert yang diiringi 17 pemuzik diketuai oleh maestro tersohor, Mac Chew itu dinoktahkan menerusi lagu Sinaran.

BUKAN sahaja mempunyai vokal hebat, kemahiran Sheila berkomunikasi juga menjadi sebab mengapa beliau disayangi pengikut setianya.

 

Usai persembahan, Sheila ketika ditemui media menzahirkan apresiasi terhadap para peminat yang sudi meluangkan masa menonton persembahannya malam tersebut.

Walaupun sudah lama tidak tampil membuat persembahan di Sabah, sambutan peminat khususnya di negeri ini sangat luar biasa.

“Semua tiket konsert habis terjual sebelum persembahan. Satu perkara yang menggembirakan apabila segala kerja keras seluruh pasukan akhirnya berbaloi,” katanya.

Sheila turut memaklumkan menjadi tanggungjawabnya sebagai penghibur memberi senyuman di bibir audiens.

Besar macam mana pun atau semahal apapun persiapan kita, tidak seronoklah buat seorang penghibur apabila penonton balik dengan perasaan tidak gembira selepas menonton persembahan dijayakan.

“Bukan sahaja peminat Sabah tetapi ada yang sanggup datang dari Sarawak dan Brunei semata-mata hendak melihat saya dan pasukan beraksi,” katanya bakal meneruskan konsert sama di The Star Theatre, Singapura pada 20 Oktober hadapan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok