Pindah rumah baharu, kini masa cari duit – Dini

Insya-Allah saya dan isteri (Janna) bakal berpindah ke rumah baharu kami dalam bulan ini juga. Kediaman baharu kami nanti terletak di sekitar Kuala Lumpur sahaja.”

Demikian perkongsian pelakon Dini Schatzmann mengenai perkembangan terkininya dan isteri, Janna Nick selepas hampir dua bulan mendirikan rumah tangga.

Dini bagaimanapun enggan berkongsi secara terperinci tentang kediaman baharunya itu kerana belum mendapat persetujuan daripada isterinya.

Bercerita lebih lanjut, pelakon berdarah kacukan Melayu-Switzerland itu memberitahu dia kini perlu bekerja keras kerana telah banyak berhabis ketika majlis pernikahannya pada Jun lalu.

Fokus sekarang, selain berpindah ke rumah baharu, saya dan Janna perlu bekerja keras sebab duit dah banyak keluar ketika berkahwin.

“Jadi sekarang masa untuk kembali bekerja keras. Insya-Allah selepas ini akan ada cahaya mata pula. Semua itu memerlukan duit,” katanya.

Dini yang ditemui semasa sidang media dan tayangan perdana filem Malbatt: Misi Bakara di Putrajaya, semalam turut memaklumkan tidak banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupannya selepas bergelar suami.

Apa yang berubah, bila balik rumah kami akan meluangkan masa bersama-sama. Bangun pagi, ada isteri di sisi.

“Selepas berkahwin, kami pun tidak merancang untuk memperlahankan kerjaya seni masing-masing,” jelasnya.

Terdahulu, Dini dan Janna sah bergelar suami isteri dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Masjid Aisyah di Pulau Langkawi, Kedah pada 10 Jun lalu.

Pasangan sejoli itu dinikahkan bapa Janna sendiri, Muner Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.

Pada majlis pernikahan tersebut, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Jumlah mas kahwin tersebut dipilih sebagai simbolik kepada tarikh perkenalan mereka iaitu pada 27 Mac 2019. – HIBGLAM

-HABIS

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok