Peti suara bermasalah, Siti Nordiana sahut cabaran All Star GV

MESKI peti suara bermasalah selepas lima kali dijangkiti Covid-19, penyanyi Siti Nordiana tetap menyahut cabaran  menyertai pertandingan All Star Gegar Vaganza.

Akuinya yang mesra disapa Nana, Covid-19 meninggalkan impak besar buat dirinya sebagai penyanyi termasuk menyempitkan saluran penafasan sehingga menyukarkan dirinya melontarkan suara.

“Memang saya ada masalah dengan peti suara sebab lima kali saya dijangkiti Covid-19.

“Covid-19 bagi kesan kepada saluran penafasan kerana menjadi sempit, penat nak menyanyi sehingga rasa ketat nak melontarkan suara,” katanyanya kepada HibGlam selepas sidang akhbar pengumuman peserta All Star Gegar Vaganza di sini, semalam.

Tambah pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias, 38, itu, untuk merawat peti suara, dia turut melakukan pemeriksaan dengan pakar dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT) sejak tahun ini.

Dia juga perlu mengambil beberapa ubat untuk memulihkan kembali peti suaranya.

“Untuk mencari penyelesaia masalah peti suara tu, saya ada bertemu dengan pakar ENT bagi mengetahui keadaan sebenar.

“Selepas pemeriksaan, semuanya okey dan sekarang dalam proses penyembuhan.

“Saya tidak perlu jalani sebarang pembedahan cuma perlu lakukan ‘voice cleanse’ dan ada beberapa ubat kena ambil sejak Jun lalu,” jelas pelantun lagu Memori Berkasih itu.

Mengulas keberaniaannya bertanding dalam All Star Gegar Vaganza bersama bekas juara lain, Nana menegaskan dia menyahut cabaran tersebut dan enggan mengalah lebih awal.

“GV memacu perjalanan seni saya selepas menjadi juara pada musim kedua.

“Jadi, saya ingin memberi semula kepada GV, tak mahulah mengalah terlalu awal dan ini juga hadiah buat peminat,” katanya lagi.

Selain Nana, All Star GV yang bakal bersiaran bermula 24 September depan turut membariskan Ayai Illusi, Azharina, Noryn Aziz, Naqiu, Hady Mirza, Datuk Aishah, Cliff Umar, Aliff Aziz dan Jaclyn Victor.

Selain itu, lima lagi peserta yang akan turut bertanding hasil undian ramai akan diumumkan kelak. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok