Pengarah Adoiii Jiwaku ralat minta Adibah Noor menari, jalan jauh

PELAKON dan pengarah, Steve Yap ralat apabila tidak mengetahui Allahyarham Adibah Noor sedang bertarung dengan penyakit kanser ketika membintangi filem Adoiii Jiwaku.

Katanya, aktres versatil yang membawakan watak ibu dalam naskhah komedi itu menunjukkan komitmen tinggi terhadap amanah digalas hingga sanggup memandu dari Kuala Lumpur ke lokasi penggambaran di Morib.

Tiada sesiapa pun tahu keadaan kesihatannya kerana Adibah perahsia selain sentiasa ceria berbual dan menghiburkan semua orang dengan jenakanya.

“Malah beliau sanggup berulang-alik selama tiga hari antara Kuala Lumpur dan Morib bagi menyempurnakan babak rumah kampung dengan memandu sendiri selain menari dalam keadaan cuaca panas terik.

“Paling ralat kerana saya minta Allahyarham berjalan jauh bagi adegan kejutkan anak di bilik dan ketika itu saya sangka Adibah jalan terhincut-hincut disebabkan sakit biasa,” katanya kepada HibGlam pada Malam Gala Adoiii Jiwaku, malam tadi.

Akui Steve yang juga penulis skrip filem tersebut, pengalaman bekerja dengan penggiat seni hebat itu sekitar 2019 tetap tersimpan kemas dalam ingatan.

Malah, keinginan mengundang aktres merangkap pengacara itu untuk beraksi dalam Adoiii Jiwaku yang juga filem pertama arahannya tercetus sejak menonton Sepet sentuhan Yasmin Ahmad.

“Sebenarnya, dulu saya bersama Amber Chia pernah beraksi dalam video muzik arwah dan sebelum itu memang meminatinya selepas menonton Sepet.

“Apabila berpeluang mengarahkan filem pertama, nama Adibah ‘naik’ dulu malah tak sangka beliau terima pelawaan saya biarpun tahu bayaran tidak sebesar mana.

Adoiii Jiwaku didedikasikan kepada Adibah yang kebetulan ditayangkan pada bulan kelahiran penghibur kesayangan ramai ini,” luahnya.

Dalam naskhah yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 September depan, Adibah membawa watak ibu kepada watak utama, Ayis lakonan Ali Arami.

Terdahulu, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun pada Jun tahun lalu berikutan kanser ovari tahap empat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok