Peminat buat kami kekal relevan – Bunkface

SEPANJANG 16 tahun berkarya,  pesona Bunkface tidak pernah pudar.

Buktinya, MALAM Ini Kita Punya, Rentak Laguku, Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan Situasi antara seleksi popular yang masih menjadi siulan pencinta genre punk rock di Malaysia hingga ke hari ini.

Tidak mendabik diri, ketika menjayakan konsert Bunkface Rock in Borneo yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, vokalisnya, Sam berkata, kemenjadian mereka adalah atas sokongan tidak bertepi peminat.

BUNKFACE teruja dengan sambutan luar biasa peminat setia mereka di Sabah.

Bunkface bukan bermula sebagai sebuah kumpulan yang senang, kami berusaha dan cuba sedaya upaya menghasilkan karya serta persembahan terbaik buat penyokong tegar sepanjang 16 tahun ini.

“Sudah semestinya sokongan peminat sangat berbaloi. Malah, kami hargai semua peminat sama ada yang mengikuti kembara kami dari awal kemunculan mahu pun yang baharu.

“Mereka masih menyanyikan lagu Situasi dan ia bergema dalam konsert Bunkface di sini (Sabah),” katanya.

Membawakan 20 lagu, konsert berskala besar yang buat julung kalinya di Sabah ini menjadi hadiah terbaik buat peminat.

Mewakili rakan-rakannya, Sam menzahirkan rasa teruja dan terharu dengan sambutan luar biasa peminat mereka di Sabah.

Sepanjang beraksi di atas pentas, mereka seakan disuntik semangat apabila melihat respons penonton setia berhibur sehingga konsert melabuhkan tirai.

“Terkejut sebab penonton daripada mula sampai habis seperti tidak penat.

Kami di atas pentas rasa macam putus nafas tetapi peminat di bawah sangat hebat. Mereka boleh melompat dari awal persembahan sehingga lagu terakhir.

“Nampak mereka menghargai kami. Mungkin kerana ini kali pertama kami mengadakan persembahan berskala besar di negeri ini.

“Terima kasih kami ucapkan kepada peminat yang sanggup keluarkan duit dan datang dari jauh semata-mata mahu melihat Bunkface dari dekat,” katanya.

Kira-kira 2,000 penonton memenuhi Dewan Hongkod Koisaan, KDCA.

Menerusi konsert berdurasi hampir dua jam itu, Bunkface menghiburkan kira-kira 2,000 penonton dengan 20 seleksi lagu.

Tirai persembahan dibuka dengan lagu Bunk Anthem dan I Miss You. Pentas semakin gamat apabila peminat diajak menyanyikan lagu Rentak Laguku diikuti Kembali dan Soldier.

Pentas semakin gamat apabila Bunkface mengajak peminat menyanyi bersama lagu Rentak Laguku serta disusuli Kembali, More dan Soldier.

Bunkface tidak ketinggalan menyanyikan rangkaian lagu berhantu mereka iaitu Malam Ini, Malam Ini Kita Punya, Silly Silly, Dunia, Darah Muda, Ekstravaganza, Panik, Situasi dan Revolusi. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok