Pelamin angan musnah, Fify mahu berpisah – Nafiez

Pelamin angan ku munsah. Begitulah nasib pelakon Nafiez Zaidi apabila hasrat untuk menyunting aktres Fify Azmi sebagai suri hidupnya berkubur apabila hubungan mereka berakhir April lalu.

Nafiez berkata, meskipun sudah menetapkan tarikh perkahwinan pada Disember tahun lalu, peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu tetap berkeras mahu berpisah.

“Kami sudah tetapkan tarikh kahwin pada bulan Disember tahun lalu, tetapi Fify minta tangguhkan ketika saya menjalani penggambaran Malbatt: Misi Bakara di Turkiye.

“Sekarang kami hanya berkawan kerana saya dan Fify tiada apa-apa hubungan lagi sejak hari Aidilfitri keenam yang lalu.

“Saya pun sudah cuba pertahankan hubungan kami. Namun, dia yang berkeras untuk bawa haluan masing-masing,” katanya usai majlis tayangan perdana Malbatt: Misi Bakara, semalam.

Tambah aktor berusia 31 tahun itu, pada awalnya dia bersetuju menangguhkan majlis mereka, namun selepas itu tiada jawapan dari Fify untuk menetapkan tarikh pernikahan baharu.

Nafiez seterusnya gagal mempertahankan hubungan yang semakin renggang sehingga membuat keputusan untuk berpisah.

“Pada awalnya saya tidak mahu menundakan perkara baik yang sudah dipersetujui bersama, tetapi saya ikutkan sahaja kehendaknya.

“Masing-masing pun kemudian sibuk dengan jadual kerja sehingga kami semakin renggang dan mungkin itu antara punca kami tiada apa-apa,” ujarnya lagi.

Nafiez yang ditemui Hibglam turut menjelaskan punca utama perpisahan itu bukan kerana penampilan bekas kekasihnya yang seksi atau wujudnya orang ketiga.

Dalam masa sama, dia mengakui sedia berkawan dengan pelakon drama Special Force: Anarchy itu.

“Bukan sebab penampilannya seksi atau kemunculan pihak ketiga yang menyebabkan kami berpisah. Mungkin bagi dia kami tiada lagi keserasian.

“Jadi, untuk kebaikan bersama kami pun berpisah. Kalau boleh mahu berkawan dan jadi profesional kerana saya tidak simpan dendam,” tuturnya.

Sebelum ini, hubungan cinta pasangan itu mula dihidu apabila sering menghadiri beberapa acara hiburan dan berkongsi foto berdua dalam Instagram sejak 2021.

Pada Jun 2022, Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi menerima rombongan merisik keluarga Nafiez di  Subang Jaya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok