Ok, Faizal Tahir masih ‘waras’

PADA awal kemunculan dalam industri, bakat seni penyanyi dan komposer Faizal Tahir sering ditagih untuk menghasilkan karya-karya bernuansa serius.

Untaian lagu seperti Sampai Syurga, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta adalah antara judul karya dendangan pemilik nama lengkap Ahmad Faizal Muhammad Tahir itu yang menjadi siulan ramai sehingga sekarang.
Dewasa ini, barangkali selari dengan peredaran usia, Faizal memilih untuk menghibur pendengar dengan muzik yang lebih bersahaja.

Selepas karya berjudul Santai, Faizal sekali lagi hadir dengan buah tangan baharu berjudul OK yang turut diadun dengan melodi ‘ringan’, namun penuh maksud atau mesej mendalam.

Terbitan syarikat miliknya sendiri Faithful Music, OK yang merupakan lagu hasil ciptaan sepenuhnya dirinya dan Ezra Kong memupuk semangat dan motivasi dalam jiwa pendengar dengan menasihatkan agar jangan mudah putus asa dalam perjuangan hidup.

“Dunia ini penuh cabaran ditambah lagi ramai yang cuba menjatuhkan dan menyakiti kita menggunakan kata-kata. Namun tidak perlu kita terbawa emosi untuk membalas. Boleh jawab no comment saja.

“Dalam masa sama, kekal tabah dan teruskan pencarian seperti seorang pendekar berdisiplin yang tak henti-henti memperbaiki dan memperkasakan dirinya,” kata Ezra Kong.

Dikir barat

Uniknya lagu OK mengetengahkan elemen dikir barat di dalam rentak dan produksi moden sekali gus kedengaran jauh berbeza daripada kebanyakan karya Faizal sebelum ini.

“Dari awal pembabitan dalam bidang seni lagi saya sentiasa ingin mencuba benda baharu. Bagi saya, versatiliti itu penting.

“Dalam dunia seni, nilai tersebut membolehkan kita bereksperimentasi dengan pelbagai aspek kreativiti,” kata Faizal, 45.

Apa yang pasti, eleman muzik dan bunyi yang dipersembahkan dalam lagu OK seakan-akan memberi isyarat mana muzik Faizal juga berubah secara perlahan-lahan.

“Ya, saya setuju. Faktor umur dan pengalaman banyak memainkan peranan,” katanya.

Sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini antaranya Ragaman dan Santai, bait liriknya sarat dengan mesej berguna dan juga berunsur nasihat. Buktinya, penerimaan peminat terhadap karya sebegitu sangat bagus.

“Alhamdulillah. Itulah tanggungjawab saya sebagai anak seni. Apa yang paling penting adalah peringatan kepada diri sendiri terdahulu.

“Jadi, keunikan single ini juga adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Nusantara

Selepas lagu OK yang menerapkan elemen dikir barat, Faizal berkata, dia masih belum lagi terfikir untuk mengetengahkan muzik lain dalam karya lain selepas ini.

“Buat masa ni belum ada terfikir. Tapi jika ada lagu baharu selepas ini pastinya benda yang belum pernah saya buat. Saya ingin terus menerapkan elemen muzik tradisional atau Nusantara di dalam lagu-lagu baharu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Faizal bakal menjayakan konsert solo pertamanya Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad, pada 2 September depan di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam.

“Insya-Allah, lagu OK ini akan saya nyanyikan pada konsert nanti. Lagu baharu lain pula tiada. Tapi akan ada lagu lama yang diberi nafas baharu,” katanya.

Lagu OK dilancarkan secara rasmi pada 11 Ogos lalu dan boleh didengari dalam semua platform muzik digital.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok