ND Lala ceraikan isteri, nikahkan anak

TIGA hari sebelum anaknya penyanyi, Shila Amzah dinikahkan, Datuk ND Lala terlebih dahulu menceraikan isteri, Datin Fauziah Sarman pada 2 Ogos lalu.

Menerusi perkongsian Fauziah dalam Instagram, lafaz cerai yang dibuat di Masjid Ar Rahman, Bangsar itu hanya dimaklumkan kepadanya semalam melalui aplikasi WhatsApp.

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya, saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023,”katanya.

“Bagi perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp,”katanya.

Ibu kepada empat anak itu juga berlapang dada menerima ketentuan Allah selain berharap dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini.

“Alhamdullilah, Allah telah memberikan saya kekuatan yang sangat luar biasa untuk menerima ketentuan ini.

Saya menerima segala ini dengan berlapang dada kerana saya yakin doa saya, doa insan-insan yang sentiasa ada di belakang saya selama bertahun-tahun ini adalah asbab untuk saya mendapat kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna, insya-Allah,” katanya.

Menurut Fauziah lagi, status diri serta perceraian mereka perlu didedahkan agar tidak timbul sebarang fitnah di kemudian hari.

“Saya menulis ini untuk menjelaskan status saya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan kami selama 34 tahun ini,” luahnya.

Pada masa sama, wanita berusia 55 tahun itu turut meminta orang ramai mendoakan supaya dirinya terus kuat untuk meneruskan kehidupan seperti ketika dirinya ditipu.

“Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.

“Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredhai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.

“Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua,” katanya.

Sekitar April lalu Fauziah memuat naik foto hitam putih seorang wanita bertudung bersama kapsyen ‘mengundang’ seolah-olah mengiyakan gosip mengenai seorang penyanyi dan pelakon popular era 80-an berkahwin lagi dengan wanita muda.

Turut memberi bayangan berkenaan kemelut rumah tangganya dalam media sosial, selepas itu dia dilihat ke Mahkamah Syariah, namun Shila meminta keluarga mereka diberi ruang untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Terdahulu, ND Lala dan Fauziah meraikan ulang tahun perkahwinan mereka pada Februari lalu.

Pasangan yang jarang berenggang itu berkahwin pada 1989 selepas berkenalan ketika sama-sama menjayakan program Mekar Sejambak di Radio Televisyen Malaysia (RTM). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok