Nabila Razali tayang cincin pula, betul ke bertunang? 

TINDAKAN Penyanyi, Nabila Razali memuat naik gambar cincin yang menghiasi jari manis di tangan kanannya hari ini di Instagram seakan mengiyakan berita pertunangannya dengan seorang ahli perniagaan.

Biarpun lebih kepada hantaran mempromosikan lagu Aku Terluka yang berjaya membolosi Muzik Muzik 38, perkongsian itu meraih ucapan tahniah pengikutnya.

Pada masa sama, beberapa rakan selebriti turut menitipkan maklum balas positif dalam ruangan komen termasuk Nora Danish, Wani Kayrie serta Ahirine Ahiruddin.

Nyata ramai menzahirkan doa supaya dipermudahkan urusan penyanyi berusia 31 tahun itu yang difahamkan mengikat pertunangan dengan lelaki dikenali sebagai Nik Iruwan Nik Zaini, 37.

Tidak kurang ada dalam kalangan peminat meluahkan rasa terkejut, namun turut berkongsi kegembiraan apabila baru tahu artis kesayangan mereka sudah menjadi tunangan orang.

“Alhamdulillah. Akhirnya yang ditunggu. Lagu tercalon, hati pun sudah dimiliki. Tahniah sekali lagi si cantik.”

“Tahniah, diam-diam bertunang,” demikian antara komen netizen.

HibGlam semalam melaporkan majlis pertunangan penyanyi Peluang Kedua itu diadakan secara tertutup di kediaman baharunya di Selayang.

Pasangan yang mempunyai minat sama dalam sukan permotoran itu difahamkan telah menjalin hubungan cinta sejak beberapa bulan lalu.

Begitupun, mereka bijak menyembunyikan hubungan tersebut, tetapi pengikut tegar sudah mula menghidu kemesraan apabila ada yang mendakwa terserempak pasangan terbabit di Genting Highlands bulan lalu.

Mengikut maklumat daripada sumber, tempoh pertunangan tidak lama kerana kedua-dua keluarga ingin Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali, 31, dan Nik Iruwan disatukan segera.

Sementara itu, usaha HibGlam mendapatkan Nabila masih belum berjaya apabila panggilan telefon tidak diangkat sejak semalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok