Moving, luar biasa hebat!

BARU sahaja diluncurkan menerusi Disney+ Hotstar pada 9 Ogos lalu, naskhah terbaharu berjudul Moving arahan sutradara Park In-jae ibarat sebutir ‘bom jangka’ yang sedang meletus dalam platform online tersebut.

Diadaptasi daripada komik Webtoon ciptaan Kang Full, penulis sungguh terhutang budi kepada sesiapa yang meletakkan saranan meminjamkan sedikit masa menonton karya berkenaan yang pada mulanya menderas dengan tujuh episod pertama sekali gus.

Sebagai individu yang langsung tiada latar belakang tontonan Webtoon, Moving ternyata memberi dampak tersendiri sehingga tidak berkelip mata menyaksikan siri bertemakan supernatural atau sains fiksyen tersebut.

Dari segi perjalanan atau naratif cerita, terjemahan lakonan, permainan emosi, teknik janaan kompoter (CGI) dan efek bunyi, semuanya berkelas luar biasa.

SEUNG-RYONG melakonkan watak Joo-won yang sanggup berkorban apa sahaja demi melindungi anak perempuannya.

Ternyata, satu lagi ‘tunjuk ajar’ Korea Selatan kepada dunia bagaimana untuk menghasilkan sebuah karya yang berbekas dalam jiwa audiens.

Moving dibarisi pelakon ‘papan atas’ seperti Seung-ryong yang memainkan peranan sebagai Joo-won, Hyo-joo (Mi-hyeon), In-sung (Doo-shik) dan beberapa pelakon muda lain seperti Lee Jung-ha sebagai Kim Bong-seok serta Go Youn-jung (Jang Hui-soo).

Setakat episod ketujuh, semua permainan karakter diadun dengan sempurna. Karakter Bong-seak antara yang paling meninggalkan impak.

Kasih ibu terjemahan pelakon Han Hyo-joo yang berusaha melindungi si anak dalam siri ini cukup menyentuh hati.

Bayangkan karakternya yang sejak kecil kemampuan luar biasanya (mampu terapung dan terbang) ditentang ibu tersayang atas alasan untuk melindungi diri dan orang sekeliling dan itulah kesengsaraan dilalui remaja itu.

Apabila meningkat remaja, dia mula sedar bahawa sudah banyak masa dan ruang dibazirkan sedangkan ada banyak perkara yang mampu dikecapinya andai hidup bebas tanpa kongkongan.

Dia barangkali mampu menjadi hero buat teman wanitanya, Hui-Soo dalam satu kejadian yang menyaksikan hero lain ‘mencantas’ peluangnya iaitu Lee-Kang-hoon (lakonan Kim Do-hoon).

MOMEN manis Kim Bong-Seok dan Jang Hui-Soo yang buat penonton tersenyum.

Itu sedikit sebanyak tentang impak ditinggalkan watak Bong-seok. Sejujurnya, perkembangan dan terjemahan karakter lain juga tidak kurang hebatnya.

Berbaki 13 episod, Moving kini membuatkan ramai tidak sabar menanti hari pertengahan minggu kerana itu adalah waktu karya tersebut diperbaharui dengan episod baharu.

Sungguh, Moving adalah antara karya yang hidup ‘rent-free’ dalam minda ketika ini. Memang tidak sabar menanti kesudahan episod demi episod.

PELAKON jelita Ko Yoon-jung membawakan watak Jang Hui-Soo, remaja yang memiliki keupayaan fizikal yang hebat dan mampu pulih daripada kecederaan dengan pantas.

Jika suatu ketika dahulu, Netflix pernah hadir dengan siri berjudul Sense8 (namun malangnya dibatalkan selepas hanya satu musim) yang bertemakan supernatural dan konsep hampir sama, sepertinya Moving terkandung nuansa serupa.

Kalau ada kelompok peminat atau audiens yang masih tidak menyedari kehadiran Moving dalam platform Disney+ Hotstar, sudah tiba waktunya kalian mengunjurkan sedikit perhatian terhadap siri hebat tersebut.

Hal ini kerana, Moving menyajikan penceritaan yang sungguh menarik perhatian.

Biarpun baru tujuh episod menunjukkan taring (setakat ulasan ini ditulis), penulis sudah tidak teragak-agak memberikan angka cemerlang iaitu 90/100 sebagai markah buat siri berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok