Minta duit, bunga yang diberi – Nasha Aziz

MASIH belum menerima baki tertunggak sebanyak 30 peratus untuk lakonannya dalam sebuah drama bersiri, pelakon dan model jelita Nasha Aziz menggesa sebuah syarikat produksi milik seorang penerbit terkenal melunaskan bayaran itu.

Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 52, berkata, baki bayaran tersebut sepatutnya sudah dijelaskan sepenuhnya pada Februari lalu, selepas drama yang turut dibintangi pelakon Intan Najuwa, Yusuf Bahrin dan Malek Maccrone itu selesai ditayangkan pada hujung tahun lalu.

Sepatutnya baki bayaran tertunggak diselesaikan pada Februari lalu selepas drama itu selesai ditayangkan. Tapi sehingga kini saya masih belum mendapat baki bayaran sebanyak 30 peratus.

“Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang seni, ini kali pertama perkara sebegini berlaku,” ujarnya kepada HibGlam.

Selain dirinya, selebriti tinggi lampai itu turut memberitahu beberapa individu lain seperti pengarah dan pengarah fotografi juga belum menerima bayaran penuh sehingga kini, namun bukan untuk projek drama yang sama.

Dalam pada itu, Nasha berkata dia sedia berbincang dengan Syarikat produksi tersebut kerana masih lagi boleh bertolak ansur, asalkan bayaran yang dijanjikan dapat diselesaikan,

Kalau ada sebarang masalah, saya sedia untuk berbincang dengan pihak produksi terbabit. Sebagai orang Melayu, kita terkenal dengan sikap bertolak-ansur.

“Saya sudah selesaikan tugas saya. Drama tersebut juga sudah habis ditayangkan,” katanya.

Ketika ditanya tentang hubungannya dengan produser tersebut, pelakon yang pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 itu memberitahu, individu terbabit perlahan-lahan mula menyepi.

Awalnya kami masih berhubung. Dia masing menjawab panggilan telefon saya. Tapi lama kelamaan, dia mula berdiam diri dan hanya menghantar bunga sahaja ketika hari jadi saya baru-baru ini.

“Kami sudah lama kenal. Malah, individu terbabit juga mempunyai reputasi serta latar belakang yang baik,” jelasnya.

Selepas apa yang terjadi, Nasha yang ditemui semasa sidang media dan pelancaran teater monodrama, Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu di Stor Teater, DBP, semalam, mengakui insiden tersebut berlaku kerana kesilapan pihaknya.

Salah saya sebab perjanjian tersebut dilakukan tanpa sebarang hitam putih (kontrak). Mungkin sebab kami sudah lama mengenali dan saya selesa dengan produksi tersebut sehingga menyebabkan perkara ini berlaku.

“Jadi selepas ini kalau boleh, saya akan tetapkan sedikit had dan sempadan,” ujarnya. HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok