Mia Sara Nasuha jemu jadi budak sekolah 

MEMULAKAN kerjaya seni lakonan seawal usia tiga tahun menerusi drama Adamaya, sejak detik itu nama kanak-kanak comel, Mia Sara Nasuha terus menjadi si cilik popular dalam arena seni hiburan tempatan.

Mia atau nama lengkapnya Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan pernah menjadi rebutan produser dan pengarah dek kerana kepetahannya bercakap walaupun ketika usia yang masih kecil.

Masa berlalu dengan cukup pantas. Hari ini Mia bukan lagi pelakon cilik apabila telah beralih fasa menjadi remaja rupawan berusia 18 tahun.

Penampilannya yang manis bertudung kelihatan semakin matang. Cuma fizikalnya sahaja mungkin kelihatan tidak seiring dengan penambahan usia apabila masih terlihat seperti seorang pelajar sekolah.

Sedar kekurangan tersebut, Mia memberitahu disebabkan keadaan fizikalnya yang genit, dia kerap ditawar membawakan watak budak sekolah, sehingga terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana sudah jemu.

Ujar gadis kelahiran 30 September 2005 itu, selepas sekian lama berkecimpung dalam bidang lakonan, dia mahu membuktikan bahawa dirinya juga mampu membawa watak berbeza yang lebih dewasa.

“Kalau ditanya watak yang diidamkan, saya tidak mahu lagi membawakan peranan pelajar sekolah. Sudah 13 tahun saya bawakan watak sebegitu.

“Saya sudah bersedia dan mahukan watak remaja yang lebih dewasa. Tapi saya sedar akan keadaan fizikal saya yang kecil ini,” katanya dalam nada sedikit kecewa.

Jujurnya, Mia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana tidak mahu lagi membawakan watak serupa sebagai pelajar sekolah, walaupun mengakui pada awalnya takut berbuat demikian kerana seolah-olah menolak rezeki.

“Kalau ikutkan banyak juga watak budak sekolah yang saya tolak sebab sudah terlalu sangat bawa peranan sebegitu.

“Mula-mula ada terfikir juga orang kata tolak rezeki. Tapi lama-lama bila difikirkan semula, kalau ada rezeki tidak akan ke mana,” jelasnya yang menanti diberikan watak sebagai heroin.

Selain daripada berlakon, Mia juga dalam perancangan untuk melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta dalam bidang pemasaran.

Biarpun bakal bergelar penuntut kolej, Mia tidak akan berhenti untuk terus aktif berlakon kerana menganggap kedua-dua bidang tersebut sangat penting.

“Saya cintakan lakonan. Pada masa sama pelajaran sangat penting. Bila saya sambung belajar nanti, saya akan seimbangkan kedua-duanya,” ujar Mia.

Gadis berketinggian 149 sentimeter itu bertegas, tujuan menyambung pelajaran bukan untuk memudahkan peluang pekerjaan, tetapi bagi membina keyakinan diri supaya tidak ‘kosong’ dengan ilmu.

“Saya belajar bukan untuk menunjuk-nunjuk. Tetapi untuk bekalan diri sendiri. Sebab itu saya mahu sambung belajar supaya ada lebih banyak kemahiran,” tutupnya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok