Mengaku terlepas pandang, Tya Arifin janji lebih peka

DIKECAM kerana baju yang dipakai menampakkan bentuk dada,  pelakon Tya Arifin mengakui terlepas pandang ketika memuat naik klip video di laman sosial.

Susulan insiden itu, pemilik nama lengkap Nurtria Wulandari Arifin itu berjanji akan memantau kerja pasukan editor agar  kejadian sama tidak berulang sewaktu memuat naik kandungan.

“Saya akan lebih berhati-hati selepas ini, tetapi netizen sangat ramai dan saya tidak mampu untuk kawal satu persatu.

“Daripada pihak saya dan pasukan mungkin ada perkara yang kami terlepas pandang semasa proses menyunting video.

“Video itu pula agak panjang, mungkin ada perkara tidak dilihat terperinci, jadi ada bahagian tak sepatutnya dimuat naik,” katanya kepada HibGlam.

Menantu kepada penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza itu bagaimanapun tidak patah semangat untuk terus memuat naik kandungan di laman sosial miliknya.

“Saya tidak boleh kawal sesuatu kerana orang akan terus menilai. Saya sudah ambil maklm perkara tersebut dan melihat dari sudut positif.

“Apabila terdedah dengan sosial media, saya kena sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Komen dan kritikan netizen tidak buat saya rasa rendah diri, marah atau hilang minat untuk cipta kandungan baharu lagi selepas ini,” katanya.

Pada awal Ogos lalu, video lama Tya kembali tular berikutan pakaiannya menonjolkan bentuk dada ketika memasak lasagna untuk keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok