[VIDEO] Megalodon ‘tenggelam’ dalam Meg 2

SEBELUM menjejakkan kaki ke panggung GSC Starling bagi menyaksikan filem Meg 2: The Trench, perasaan penulis membuak-buak tidak sabar untuk mengetahui kesinambungan The Meg yang diluncurkan pada 2018.

Maklumlah, karya berkenaan mendapat reaksi positif daripada audiens.

Bukan sengaja untuk mengkritik membuta tuli filem kali ini, namun sebagai peminat filem bertemakan sains fiksyen yang ‘menjual’ kehebatan makhluk bernama Megalodon itu, percaturan Meg 2 sedikit tersasar.

Pertama sekali, aspek naratif atau jalan cerita, filem arahan sutradara Ben Wheatley itu kurang kemenjadiannya berbanding sekuel terdahulu.

PENJIWAAN Jason Statham sebagai Jonas Taylor kali ini seakan tidak sampai dan gagal menyentuh hati penonton.

Dari awal cerita sehingga ke minit akhir filem, tidak banyak yang berbekas dalam fikiran, sekali gus membuatkan penulis berfikir, apa masalah filem kali ini sehinggakan begitu banyak momen tidak ‘melekat’ yang dipaparkan dalam layar skrin.

Naskhah yang sepatutnya mengangkat adrenalin penonton menyaksikan kekuasaan jerung gergasi atau Megalodon terkulai layu dengan bermacam kelemahan plot yang maaf cakap, tidak diadun sekemas-kemasnya.

Paling kurang pun audiens mengharapkan tahap filem pertama disetarakan untuk sekuel kali ini. Namun malangnya, itu tidak berlaku.

Meg 2 sepatutnya membawa penonton ke dunia prasejarah dengan kehadiran makhluk-makhluk yang sudah pupus, namun selepas tontonan, ramai menggelengkan kepala.

Antara babak dalam Meg 2.

Durasi filem 116 minit dengan bajet pembikinan melebihi AS$130 juta dibazirkan untuk sebuah penceritaan yang terlalu menumpukan tentang sabotaj atau pergolakan korporat.

Mengapa kemunculan Megalodon dan makhluk-makhluk prasejarah ditonjolkan terlalu minimal dalam Meg 2? Apa yang difikirkan sutradara Wheatley ketika mengarah karya ini? Itu antara persoalan yang berlegar di fikiran selepas  menghabiskan tontotan.

Kecewa? Memang. Berdasarkan trailer, Meg 2 seperti menjanjikan pengalaman mengujakan, namun sayang seribu kali sayang, semua itu hanya pancingan untuk menarik audiens.

Teraju utama, Jason Statham dirasakan seperti jasadnya sahaja berada dalam filem, namun emosi sebagai Jonas Taylor melayang entah ke lautan dalam mana.

Mana One tidak lagi menjadi satu lokasi menarik disebabkan naratif atau plot yang menyeleweng kepada ketamakan dunia korporat.

Watak yang menonjol barangkali terjemahan pelakon lelaki kulit hitam Page Kennedy sebagai benama DJ di Mana One.

Lelucon yang dilontarkan melalui tindak-tanduk dan dialognya memecahkan hening ‘tak menjadi’ kebanyakan tempoh filem berjalan.

Faktor lain membuatkan Meg 2 kurang menyerlah adalah teknik janaan komputer (CGI) yang separuh masak, ‘berlumut’ dan itu membuatkan audiens rasa seperti dikhianati kerana indah khabar daripada rupa.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok