Masalah hati, buah pinggang, alasan Zarina Zainuddin buat pembedahan bariatrik 

PELAKON Zarina Zainuddin selamat menjalani pembedahan bariatrik berikutan beberapa masalah kesihatan seperti  ketumbuhan pada buah pinggang, hati dan ulu hati.

Katanya,  pergerakan serta urusan harian yang semakin terjejas sejak kebelakangan ini mendorongnya berjumpa pakar dan mengikuti segala saranan doktor.

“Selama ini, saya tidak sedar ada macam-macam penyakit, cepat penat dan tumit sakit setiap kali memijak, selain demam hampir seminggu sedangkan biasanya, lepas ambil ubat, dalam dua hari sembuh. 

“Saya risau tengok perubahan ini, jadi saya buat pemeriksaan menyeluruh. Doktor kemudian dapati ‘cyst’ pada buah pinggang, hati dipenuhi lemak dan mengembang serta ulu hati longgar.

“Berat badan saya pun naik mendadak yang mungkin faktor usia atau pramenopaus dari 51 kilogram (kg), jadi 67 kg. Nak diet susah dan selepas dapatkan nasihat doktor, saya pilih pembedahan bariatrik demi kesihatan,” katanya menerusi Instagram.

Difahamkan, Zarina selesai menjalani pembedahan bariatrik kelmarin bawah kendalian pakar bedah bariatrik terbaik Asia Pasifik, Dr. Mustafa Mohammad Taher.

Menurut aktes berusia 52 tahun itu bacaan kolestrolnya juga tinggi mencecah 8.9, yang berisiko mengalami saluran darah tersumbat, seterusnya berpotensi mendapat serangan angin ahmar.

“Saya tidak sangka tahap kolestrol sangat tinggi. Sebelum ini, mungkin saya makan sahaja sebab sedap. Tidak sangka, dalaman saya sudah teruk.

“Harapan saya selepas pembedahan dapat kembali cergas dan menjalani kehidupan lebih sihat. Jika kurus itu bonus, saya mohon doa agar cepat sembuh,” luahnya.

Sekitar Mac lalu ibu kepada empat anak turut mengakui menjalani prosedur membetulkan bahagian hidungnya susulan pembedahan membuang cecair pada bahagian wajahnya akibat sinus. -HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok