Malbatt: Misi Bakara angkat kehebatan tentera Malaysia

SEBENARNYA, tidak langsung meletakkan jangkaan terlalu menggunung menonton filem terbaharu arahan sutradara Adrian Teh, Malbatt: Misi Bakara.

Namun, selepas habis menonton karya berdurasi 130 minit itu, pujian wajar diberikan kepada produksi kerana sekurang-kurangnya tujuan karya tersebut dihasilkan tercapai.

Diadaptasi daripada kisah benar membabitkan kehebatan anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt), filem yang menelan kos pembikinan RM20 juta itu turut melibatkan penggunaan kesan janaan komputer (CGI) antara paling maksimum dalam sejarah filem tempatan.

RAMAI pelakon handalan negara membintangi naskhah sarat dengan debaran ini.

Mengisahkan tentang misi menyelamat lebih daripada 70 tentera Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, penonton tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan beberapa adegan mendebarkan.

Seawal 10 minit pertama tayangan, sudah terpapar aksi menyelamat sekumpulan wartawan yang dijadikan tebusan oleh pihak pemberontak dengan babak adegan tembak-menembak antara militan Somalia dan anggota tentera negara.

Berbeza naratif filem versi Hollywood Black Hawk Down diterbitkan pada 2001 yang langsung tidak memaparkan realiti sebenar ‘hero’ negara yang sanggup menggadai nyawa menyelamatkan anggota tentera AS, Malbatt terkandung DNA tersendiri.

HAMPIR 70 peratus penggambaran filem ini dilakukan di Turkiye.

Dari sudut penceritaan, Malbatt tidaklah terlalu meleret dan plot disusun mengikut babak sehingga memudahkan penonton memahami cerita yang hendak disampaikan.

Bagaimanapun, tumpuan sinematik penulis sedikit terganggu apabila terlalu banyak adegan tiada kepentingan yang dipaparkan dalam filem terbabit.

Sebenarnya, tidak salah untuk menyelitkan babak lelucon lakonan Shaheizy Sam yang memegang watak sebagai LKPL Ramlee.

Barangkali paparan beberapa babak ‘nakal’ bertujuan untuk tidak membuatkan penonton terlalu bosan, namun secara peribadi bagi penulis sudah sampai waktu cerita bernuansa patriotik diadun dengan ‘mood’ serius.

Kendatipun, pujian harus diberikan kepada Sam apabila berjaya merobek emosi penonton ketika babak misi menyelamat dijalankan.

Karakter ‘gila-gila’ yang ditonjolkan pada awal filem, berubah menjadi watak ‘air mata’ yang penuh dengan emosi dan debaran.

PAPARAN aksi konflik dan air mata yang terkandung dalam MALBATT: Misi Bakara cukup meruntun hati penonton.

Seperkara lagi, berasa janggal melihat cara setiap pelakon berkomunikasi kerana merasakan seperti ada yang tidak kena. Itu sedikit ‘turn off’.

Selain itu, aksi peperangan yang memaparkan adegan tembak-menembak sebenarnya sedikit mengganggu emosi.

Elemen CGI boleh ‘diterima akal’ seperti tembakan atau letupan muzzle flash, rocket-propelled grenade dan juga beberapa efek letupan lain.

Menariknya, terjemahan karakter lain seperti Mejar Adnan lakonan Bront Palarae dan Leftenan Ismail (Hairul Azreen) bagaimanapun tidak menghampakan dan diadun seadilnya.

Pujian tetap harus diberikan buat Malbatt: Misi Bakara kerana memaparkan realiti sebenar peristiwa yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Pilihan tepat sekiranya mahu menonton pada hari merdeka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok