[VIDEO] Malbatt dendangkan wira Black Hawk Down

NASKHAH Malbatt: Misi Bakara yang bakal menemui penonton pada 24 Ogos ini diadaptasi daripada kisah benar tentang keberanian dan kehebatan anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt).

Menerusi kejadian pada 1993, Malbatt telah terlibat dalam sebuah misi menyelamat sekumpulan askar Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di pasar Bakara, Mogadishu, Somalia dalam satu kejadian yang dipanggil Black Hawk Down.

Menurut sutradara Andrian Teh, demi merealisasikan peristiwa itu ke layar perak, dia mengambil inisiatif menemu bual tentera yang terbabit dalam misi tersebut.

Adrian Teh ketika sidang media dan tayangan filem Malbatt: Misi Bakara di Putrajaya baru-baru ini.

“Boleh dikatakan 90 peratus daripada filem ini adalah daripada kisah sebenar. Sekecil-kecil perkara yang berlaku sekali pun, memang ada dalam filem ini.

Contohnya seperti dialog Lt. Ismail (lakonan Hairul Azreen) yang mengatakan Malaysia berada di tengah-tengah antara Thailand dan Singapura sewaktu disoal tentang kedudukan negara Malaysia oleh pihak tentera AS.

“Bagaimanapun, ada juga beberapa bahagian diselitkan sedikit unsur jenaka untuk menarik jiwa penonton,” ujar Adrian.

MENGANGKAT kisah benar, filem ketenteraan ini memaparkan apa yang dilalui pasukan Malbatt dalam usaha menyelamatkan tentera Amerika Syarikat.

Ketika disoal tentang cabaran perlu dihadapi, pengarah itu memberitahu, masalah utama hanyalah skrip apabila dia mahu memastikan setiap momen yang dimainkan oleh watak disampaikan dengan cukup adil berdasarkan kisah sebenar.

Bagi saya, kesukaran yang dilalui adalah untuk menghasilkan skrip kerana saya mahu pastikan setiap momen dan pengorbanan watak disampaikan dengan betul.

“Daripada segi penggambaran pula, Malbatt: Misi Bakara menjalani penggambaran di Turkiye dan Johor. Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar,” katanya.

Tony Eusoff dan Bront Palarae antara bintang utama filem ini.

IMAX pertama negara

Menurut Adrian lagi, dia memang ingin membongkar dan memberi kredit kepada para pejuang tempatan yang terlibat dalam misi Black Hawk Down kerana peristiwa itu tidak pernah diceritakan dalam mana-mana filem Hollywood sebelum ini.

Sebenarnya saya agak marah apabila perjuangan tentera kita yang terlibat tidak diberikan kredit dalam filem Black Hawk Down sebelum ini. Jadi, karya ini bertujuan untuk mendedahkan tentang pengorbanan para pejuang kita menyelamatkan anggota tentera AS.

“Saya yakin, filem ini pasti akan memukau dan memberi kesan kepada penonton,” jelasnya.

TULANG belakang dan barisan pelakon yang menjayakan Malbatt: Misi Bakara.

Menampilkan barisan pelakon handalan tanah air seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Tony Eusoff, Zahiril Adzim, Hairul Azreen. Shaheizy Sam, Gambit Saifullah dan Dini Schatzmann, Malbatt: Misi Bakara turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di layar IMAX dan juga tersedia dalam format 4DX dan Dolby Atmos.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok