SEGAK dalam persalinan tradisional sempena sambutan kemerdekaan bumi bertuah Malaysia yang ke-66, pelakon muda Ahirine, Puiyi dan Sanjna Suri senada menzahirkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi.
Menurut mereka, sehebat mana pun negara lain yang pernah dijejaki, Malaysia tetap nombor satu dan tiada galang gantinya.
Bahkan, Ahirine Ahiruddin yang sudah dua tahun mencipta nama sebagai anak seni mengakui bersyukur dilahirkan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
“Inilah istimewanya Malaysia kerana ditunjangi penduduk berbilang bangsa yang hidup rukun dan damai, selain berkongsi budaya yang diharap keharmonian ini terus berkekalan,” katanya.
Sementara itu, Puiyi yang namanya mencipta nama menerusi filem kontroversi Pulau berkata pengalaman menimba ilmu di Amerika Syarikat membuka matanya untuk lebih menghargai tanah air tercinta.
“Malaysia cukup kaya dengan pelbagai budaya, rakyat yang bertolak-ansur dan sangat harmoni berbanding dengan negara lain.
“Merdeka bagi saya bukan sahaja momen bersejarah tetapi juga tanda penyatuan dan harmoni buat seluruh rakyat Malaysia. Secara peribadi merdeka menandakan, inilah rumah kita,” jelas Puiyi.
Bagi bekas ratu cantik Miss Supranational 2018, Sanjna Suri pula, Malaysia sebuah negara yang unik dan istimewa.
“Ramai rakyat Malaysia tidak sedar bahawa diri mereka dan negara kita sebenarnya unik. Mereka akan sedar perkara ini jika menetap atau berkunjung ke luar negara.
“Saya sendiri merasai pengalaman tersebut ketika mewakili Malaysia sebagai ratu cantik. Malaysia sebenarnya sangat ‘mahal’ di mata orang luar. Kita boleh hidup harmoni dengan pelbagai kaum, sejarah dan agama. Bukan semua orang bertuah seperti rakyat Malaysia,” tutur Sanjna.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.