Mahu ada nilai tambah, Fizz Fairuz serius mengarah, menerbit

LEBIH dua dekad mencanai bakat sebagai pelakon, Datuk Fizz Fairuz, 44,  mengambil langkah besar dengan mengukir nama sebagai sutradara dan penerbit.

Mendapat dorongan seorang teman pengarah menjentik hatinya untuk memasukkan nilai tambah dalam kembara seninya agar terus relevan dalam industri kreatif tanah air.

Seorang rakan yang sudah lama duduk di kerusi pengarah buka mata saya. Katanya, sekarang masa terbaik untuk buat segalanya sendiri dan sampai bila nak makan gaji?

“Sudah 22 tahun saya dalam industri dan patut beri laluan kepada orang baharu untuk menonjolkan bakat lakonan mereka.

“Saya kena ada nilai tambah jika mahu kekal relevan dalam bidang ini. Filem pertama saya, Mat Tudung Begins adalah satu pembelajaran yang menghamparkan saya segala ilmu,” ujar suami kepada pelakon Datin Almy Nadia itu.

SET penggambaran adalah gedung ilmu buat Fizz Fairuz.

Berkongsi lanjut mengenai proses melentur diri sebagai penerbit dan pengarah, pengasas syarikat Rainmaker Creation Sdn. Bhd. itu berkata, dia menggunkana segala pengalaman sepanjang bergelar anak seni.

Dalam masa sama, pelakon drama Nur Kasih itu juga ringan mulut dan tidak segan bertanya waima dengan anak muda untuk menambah ilmu baharu.

“Saya banyak belajar semasa berlakon. Tengok cara kerja pengarah dan perhati apa yang diperlukan.

Pendek kata, sekolah saya adalah lokasi penggambaran. Jadi, apabila masuk ke dunia penerbitan, saya tidak masuk dengan tangan kosong.

“Tidak kisah dengan siapa, kalau muda sekali pun, saya akan tunduk ke bawah untuk belajar segalanya berkaitan industri seni,” ujar bintang filem Munafik itu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok