M.A.X bukan versi baharu May

“Saya selesa pilih nama baharu kerana rasa bebas tanpa dibayangi imej kumpulan asal, tambahan pula saya bergabung dengan teman seperjuangan daripada kumpulan lain.”

Demikian kata bekas pemain dram May, Man yang enggan dibayangi kumpulan lama selain muncul bersama imej lebih segar dengan menubuhkan band baharu, M.A.X sejak setahun lalu.

Kata pemilik nama sebenar Mohamad Saarip Yaakob itu, mereka sengaja memilih dikenali sebagai  MA.X kerana tidak mahu berebut nama dengan anggota yang masih tinggal yang turut dirasakan sebagai tindakan kurang matang.

“Memang ada kumpulan yang menggunakan nama band asal walaupun sudah membentuk gabungan baharu, tetapi itu bukan cara kami.

M.A.X ini pun kebetulan tiga huruf saja yang mungkin dirasakan seakan May, tetapi untuk makluman semua nama M.A.X dipendekkan daripada Maximum.

“Disebabkan agak panjang untuk buat logo atau dijadikan bahan promosi, kami sepakat kekalkan M.A.X sebagai nama band,” katanya pada majlis pelancaran album sulung berjudul Anugerah, baru-baru ini.

Selain Man yang mengundurkan diri daripada May sekitar 2021, M.A.X turut membariskan pemuzik berpengalaman seperti AG selaku vokalis, Oney, Lan Taro serta Deen.

Menurut Man, bukan hanya seleksi baharu, mereka tiada masalah membawakan semula lagu band lama memandangkan kebanyakan lagu adalah ciptaannya dan Oney.

Tiada masalah pun untuk kami bawakan katalog lagu May kerana saya dan Oney turut menghasilkan lagu yang dimuatkan dalam album.

“Rasanya tiada masalah untuk nyanyikan semula,” ulas pemuzik berusia 56 tahun itu berkenaan hak dendangan.

Sementara itu, Oney atau Mohd. Redzuan Abdul Aziz, 50, yang juga bekas vokalis Lipan Bara dan May teruja menunggu reaksi peminat muzik rock terhadap album perdana dengan 12 seleksi lagu itu.

Akuinya, walau era masa kini ramai penyanyi cenderung dengan album digital atau single sahaja, mereka tetap percaya dengan keunikan album penuh.

Sebagai orang lama kami tetap ingin merealisasikan sebuah album penuh memuatkan 10 lagu dan turut dihasilkan secara fizikal demi kepuasan.

“Biarpun kosnya tinggi, itu bukan halangan dan kebetulan ketika proses pembikinan kita dapat ilham hasilkan sebuah lagu khas untuk anak saya yang menghidap penyakit lupus.

“Bagi menggenapkan 10 lagu, kami dapatkan satu lagi karya. Ikutkan dalam album ini ada dua buah lagu ‘cover version’ yang diberikan sentuhan baharu,” katanya yang berharap M.A.X dapat beraksi di pentas konsert.

Kental dengan elemen rock, album Anugerah memberikan variasi kepada pendengar menerusi karya genre pop rock, rock balada selain heavy metal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok