Lisa 100 ikon paling mahal, popular

NAMA anggota kumpulan Blackpink, Lisa kini tergolong dalam senarai komprehensif 100 figura paling mahal dan popular di seluruh dunia.

Senarai tersebut dikeluarkan platform rasmi pemasaran media sosial Hopper HQ yang memaparkan bintang asal Thailand itu menduduki tempat ke-26, sekali gus menjadikan dirinya satu-satunya artis K-Pop yang berjaya meraih catatan tersebut.

Menurut Hopper HQ, kedudukan ditentukan pelbagai faktor termasuk populariti, pengaruh seiring jumlah pengikut akaun media sosial, selain kos dan bayaran setiap perkongsian dalam media sosial.

“Lisa mempunyai 95 juta pengikut dalam Instagram. Purata harga bayaran untuk satu hantaran dalam Instagramnya dianggarkan bernilai sekitar RM2.7 juta.

“Statusnya yang berpengaruh menjadikan dia bukan sahaja seorang tokoh terkemuka dalam industri muzik tetapi juga personaliti yang mahal dalam landskap pengiklanan media sosial.

“Sejak senarai itu disusun, bilangan pengikut Lisa terus meningkat, menunjukkan bahawa kadar bayaran si jelita itu mungkin meningkat dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Ironinya, kadar tontonan yang sangat tinggi pada setiap hantaran Lisa sepadan dengan pangkalan pengikutnya yang terus berkembang, sekali gus menjadikannya satu-satunya artis K-Pop yang muncul dalam senarai tersebut.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok