[VIDEO] Kurus atau berisi, saya tetap berjoget – Fasha Sandha

DIKRITIK aktif menari selepas bertubuh langsing, pelakon jelita Fasha Sandha tampil membela diri bagi menutup mulut netizen.

Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan, 39, memberikan bukti dalam bentuk video aktif menari sejak dahulu lagi tanpa mengira keadaan fizikal.

“Semalam ada beberapa komen mengatakan apabila sudah kurus saya terus berjoget. Video membuktikan daripada zaman berisi atau bulat saya tetap berjoget.

“Tetap bahagia dan gembira dulu dan sekarang. Jadi, fakta yang mengatakan saya berisi terus berbeza itu tidak tepat ya.

“Saya tetap sama. Kalau sister (kakak) ada masalah hati, mungkin tidak berapa suka dengan pencapaian saya,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Perkongsian tersebut dibuat susulan kenyataan seorang netizen seolah-olah mendakwanya tiada perasaan malu kepada keluarga mertua apabila rancak berjoget, berbeza ketika badan berisi.

Dalam masa sama, pelakon asal Johor Bahru itu mengakui lebih suka menjadi diri sendiri selain berharap tiada sesiapa menilai sesama manusia.

“Malu kepada keluarga mentua? Kenapa? Sebab berjoget?

“Pada saya tidak perlu malu untuk jadi diri sendiri. Lagi malu kalau kelihatan warak dan baik tetapi sebenarnya munafik serta hipokrit.

“Tiada sesiapa pun sempurna di dunia ini. Tiada siapa layak untuk menghakimi sesiapa pun,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pelakon filem Anak Halal itu memaklumkan dirinya seorang periang tidak kisah apa pun jua bentuk badannya.

“Seketul Fasha Sandha adalah manusia yang sentiasa gembira tidak kira gemuk atau berisi saya tetap joget.

“Tiada masa untuk sunting gambar atau video mahu jadikan saya kurus dalam foto atau video,” jelas pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017 itu.

Sebelum ini, Fasha terpaksa menurunkan berat badan kerana terikat dengan perjanjian (kontrak) untuk sebuah drama yang memerlukan dirinya kurus mendadak.

Dia turut menafikan dakwaan segelintir pihak tubuhnya kini langsing adalah disebabkan menjalani prosedur bariatrik atau potong usus. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Fasha Sandha (@fashasandha)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok