Konsert Muse berjaya, tidak kurang ajar

KONSERT Muse: Will Of The People World Tour di Stadiu, Nasional Bukit Jalil boleh diibaratkan seperti letusan gunung berapi yang mengalirkan lava menyuburkan bumi.

Muse yang setia dianggotai Matt Bellamy, Chris Wolstenholme dan Dominic Howard memberikan persembahan 100 peratus cemerlang dengan kawalan pentas tidak tercela, nuansa vokal Matt berada pada landasan tersendiri, permainan muzik luar biasa dan pelbagai perihal yang mengagumkan.

Berdurasi dua jam, Muse: Will Of The People World Tour 2023 anjuran  Hello Universe boleh disifatkan antara persembahan atau konsert terbaik yang pernah dihadiri penulis tahun ini.

Biarpun kebanjiran penonton tidak berstatus full house dan dihadiri sekitar 53,000 penonton (kapasiti stadium berkapasiti 85,000 orang), fakta sedemikian bukan penghalang untuk kumpulan asal England itu memberikan persembahan mega pada skala terbaik.

MUSE hormati norma dan budaya sopan Malaysia, tampilkan persembahan yang bersih dan bebas kontroversi.

Kumpulan yang sudah dua kali mengungguli Anugerah Grammy dengan trofi Album Rock Terbaik (2016) menerusi Drones dan The Resistance (2011) itu sememangnya terkenal dengan kemenjadian di atas pentas.

Bahang kehangatan pentas dimulakan dengan lagu berjudul Will of The People yang menjadi tajuk konsert jelajah mereka.

Bertopeng rona perak memancar dan membawa semangat perjuangan menentang opresi, lagu tersebut yang merupakan ciptaan sepenuhnya Matt Bellamy dipetik daripada album tahun lalu cocok dijadikan introduksi persembahan.

“Selamat petang, semua,” demikian kata Matt atau nama sebenarnya Matthew James Bellamy menyapa lautan manusia usai menyanyikan beberapa lagu.

Muzik Muse adakalanya kedengaran keras dengan nukilan lirik yang pelbagai, namun itu bukan alasan penonton yang kebanyakan datang daripada generasi Y untuk alpa dengan kebebasan yang diberikan kerajaan untuk berhibur.

Persembahan diteruskan dengan dendangan lagu Hysteria, Psycho dan Map of the Problematique sebelum beberapa lagu lain seperti Though Contagion , Won’t Stand Down dan Kill or Be Killed berkumandag, sekali gus menggemakan satu stadium.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Matt Bellamy (@mattbellamy)

Berdasarkan pengamatan penulis, walaupun ada beberapa trek disifatkan ekstrem dengan judul yang tidak wajar disebutkan, Muse kekal menghormati norma dan budaya sopan negara ini.

Tidak seperti segelintir band ‘mat salih’ yang berkunjung ke tanah ini, kononnya ingin menjadi hero dengan melahirkan tindakan yang sudah terang-terang salah, Muse berada pada paksi tersendiri, mereka orang lama yang berbeza dengan kugiran lain yang mentah.

Tidak ada kata-kata lucah atau perbuatan sumbang di atas pentas. Yang ada cuma sebuah band yang sangat menghargai muzik dan ingin menterjemahkan persembahan dengan sebaik mungkin. Hasilnya, semuanya terlaksana dengan cukup terhormat.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok