Keputusan cerai Farid, Diana diketahui Khamis ini

PEGUAM syarie mewakili pasangan selebriti Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, memberi bayangan kemelut rumah tangga pasangan selebriti Farid Kamil dan Diana Danielle dijangka menemui titik noktah pada Khamis ini.

Menurut peguam mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, kedua-dua belah pihak sudah berbincang dan sudah kata sepakat dalam beberapa draf terma yang diusulkan mereka termasuk proses perceraian, hak penjagaan dua anak mereka dan tuntutan nusyuz.

“Hari ini ialah keputusan bagi permohonan Diana iaitu inter-parte kes hadanah interim (hak penjagaan anak sementara).

“Kedua-dua pihak juga telah berbincang mengenai semua kes-kes berkaitan antara mereka termasuk cerai.

Satu perjanjian penyelesaian juga sudah disediakan dan kedua-dua pihak telah memasukkan semua terma untuk selesaikan kes ini secara menyeluruh,” katanya kepada HibGlam di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini, hari ini.

PEGUAM mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Akberdin turut memaklumkan keputusan menyeluruh bakal diputuskan sekiranya permohonan cerai yang difailkan Diana sebelum ini diterima pihak mahkamah.

“Pada Khamis ini kami akan teruskan dengan prosiding permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari yang telah difailkan oleh Diana.

Jadi, pihak mahkamah menangguh keputusan mengenai hadanah hari ini sebab mahu selesaikan secara menyeluruh dan tak mahu ada sebarang pertikaian lagi. Justeru, hak-hak selepas cerai semuanya sudah dipersetujui oleh kedua belah pihak.

“Manakala, pada Khamis nanti, pihak mahkamah rendah pula akan melihat semua hasil dapatan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) namun kami akan maklumkan mengenai perjanjian bersama mereka dan tuntutan cerai boleh diteruskan pada hari itu,” ujarnya.

Jelasnya, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini juga menetapkan tarikh 21 Ogos depan bagi merekod semua terma-terma persetujuan yang sudah disediakan untuk dijadikan sebagai perintah mahkamah.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan menjelaskan hak penjagaan interim masih dimiliki Diana.

Farid, 42, selaku plaintif bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana masalah kesihatan.

“Insya-Allah kami akan cuba selesaikan semua tuntutan sekali gus supaya tidak perlu melakukannya berulang kali.

Kedua-dua belah pihak juga capai kata sepakat berhubung isu penjagaan anak cuma kandungannya tidak boleh dikongsi lagi selagi belum mendapat keputusan akhir.

“Buat masa ini, perintah hadanah interim yang ditetapkan mahkamah sebelum ini masih diteruskan iaitu berpihak kepada Diana. Urusan perjumpaan dengan anak semuanya berjalan lancar dan perkara tersebut yang membawa kepada keputusan kata sepakat antara mereka,” jelasnya.

PEGUAM mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Dia juga berharap kes-kes tuntutan berkaitan perceraian Diana dan Farid dapat diselesaikan dengan segera.

Alhamdulillah kita bakal sampai ke penghujung.

“Jika semuanya lancar, kita akan rekodkan penyelesaian semua terma-terma perjanjian pada 21 Ogos depan,” jelasnya.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai pada 10 Mac di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Dalam pemohonan cerai itu, Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai pelakon Diana dalam suaminya.

Rentetan daripada itu, pada 24 Mac lalu, Diana telah memperoleh hadanah interim dua anaknya.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok