Kembali September ini, Raisa mahu beri lebih rasa 

SELEPAS melakar kejayaan menerusi konsert Raisa Live in Malaysia tahun lalu, vokalis wanita unggul Indonesia, Raisa kembali buat kali kedua ke negara ini dengan penganjuran Raisa Hits Live in Concert yang dijadualkan berlangsung pada 23 September depan.

Bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, pemilik nama lengkap Raisa Andriana itu ternyata tidak sabar mendendangkan untaian lagu hitsnya seperti Serba Salah, Apalah (Arti Menunggu), Kali Kedua, Bahasa Kalbu dan Jatuh Hati dalam konsert berkenaan.

Wanita berusia 33 tahun itu menjanjikan persembahan terbaik buat peminat di Malaysia yang tidak henti-henti mendukung karier seninya sejak mula bertapak sebagai penyanyi pada 2008.

Semestinya, saya tidak sabar untuk sekali lagi melakukan persembahan di Malaysia. Tahun lalu, sekitar November saya pernah berkunjung mengadakan konsert (di sini).

“Energi peminat di negara ini berbeza, lantas membuatkan saya berasa teruja dan tidak sabar untuk menghiburkan mereka  sekali lagi,” katanya.

Merupakan antara vokalis ‘papan atas’ di Indonesia, isteri kepada hos kacak, Hamish Daud itu berkata, kunjungan kali pertama tahun lalu tidak cukup dan dia ingin memberikan lebih ‘rasa cinta’ buat audiens di Malaysia.

Saya mahu berikan ‘rasa’ yang lebih kali ini. Persembahan kali ini penganjurnya berbeza dan itu semestinya sedikit sebanyak memberi gambaran atmosfera serta nuansa yang dicetuskan nanti pasti berlainan.

“Saya ingin peminat menyanyi bersama-sama dan berkongsi emosi ketika persembahan nanti.

“Itu adalah erti konsert atau persembahan sebenar buat pemuzik seperti saya,” ujarnya.

Tiket menonton Raisa Hits Live in Concert bermula pada harga RM100 (CAT 5) hingga RM650 (VIP) sudah mula dijual sejak 11 Ogos 2023 menerusi laman sesawang my.bookmyshow.com.

Penganjur, Star Fortress turut menjanjikan pengalaman muzik dendangan merdu diva Indonesia Raisa yang penuh dengan semangat, penghayatan emosi dan memori berbekas.

Ikuti laman Facebook www.facebook.com/StarFortressSB untuk maklumat terkini dan kandungan di belakang tabir Raisa Hits Live in Concert.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok