Jatuh pentas, otot Uyaina Arshad terkoyak

PETALING JAYA – Pengacara Uyaina Arshad meluahkan kesyukuran apabila kecederaan akibat terjatuh dari pentas D’Academy Asia di Jakarta, lima hari lalu semakin pulih.

Katanya, otot kaki kanannya terkoyak sudah semakin pulih sehingga tidak memerlukannya menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Alhamdulillah, kaki saya sudah sembuh selepas menjalani rawatan serta sesi fisioterapi selepas berlalunya kemalangan kecil ketika rakaman program di Indonesia, baru-baru ini.

“Sebenarnya ketika itu saya jatuh dalam keadaan berdiri dan tidak rasa apa-apa, tetapi selepas itu seorang kru terpijak yang mengakibatkan kaki saya sakit.

“Selepas x-ray doktor mendapati otot kaki terkoyak. Pada hari pertama saya terpaksa berkerusi roda sebelum hanya perlu bertongkat. Sekarang dah tak guna lagi tongkat,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Enggan orang ramai risaukan keadaan dirinya, Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 30, yang berada di Indonesia sejak tiga bulan lalu memaklumkan tetap bekerja seperti sedia kala.

“Mujur hanya cedera pada kaki, tetapi jika insiden tersebut dapat dirakamkan mungkin orang akan ketawa sebab saya tak terlentang pun, jatuh secara berdiri.

“Itu yang kaki terhentak. Apa pun selepas kejadian saya pulang je KL (Kuala Lumpur) sekejap, itu yang terpaksa duduk atas kerusi roda sebab baru dua hari kemalangan berlaku.

“Sekarang, kendalikan D’Academy Asia banyak duduk, buatkan saya tak perlukan tongkat lagi,” katanya yang sudah kembali ke Jakarta, kelmarin.

Terdahulu, kemalangan itu berlaku ketika dia menyapa rakan pengacara, Jirayut yang sedang melakukan latihan untuk program realiti dangdut berkenaan.

Dalam bergurau, Uyaina tidak sedar berundur hingga terjatuh ke bahagian kawasan lapang khas untuk penonton berdiri.

Kejadian berlaku beberapa jam sebelum siaran langsung bermula, membuatkan dia menyambung tugasan semula sebelum ke klinik usai program popular itu berakhir.

Insiden tersebut turut dikongsikannya yang diundang mengendalikan D’Academy Asia sejak tiga musim menerusi
Instagramnya. – HIBGLAM 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok