Jangan letak harga tinggi jika tiada pengalaman – Wak Doyok  

“Setakat buat kelakar, nak tekan harga rasanya perkara seumpama itu perlu dihentikan. Tunjuk dulu prestasi.”

Itu peringatan pelakon dan ikon fesyen, Wak Doyok buat pempengaruh media sosial agar tidak meletakkan harga tinggi apabila kali pertama menerima tawaran lakonan.

Pemilik nama sebenar Mohd Azwan Md Nor itu berkata, situasi tersebut disebabkan pempengaruh tiada pengalaman dalam drama mahu pun filem yang melayakkan mereka untuk ‘tarik’ harga.

“Sebagai orang baharu yang tiada asas serta ingin menimba pengalaman, pada awal kemunculan dahulu saya tidak letak pun harga kerana tahu di mana kedudukan saya.

“Jadi, pempengaruh media sosial yang ingin terjun ke dunia lakonan jangan letak diri secara berlebihan, kena buktikan bakat dulu. Perlu sedar diri bukan belum apa-apa dah ‘demand’,” katanya kepada Kosmo! Online pada acara The Big Brunch di Westside Coffee, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon Abang Long Fadil 2 itu mengakui mendalami ilmu lakonan menerusi YouTube terutama filem Tan Sri P Ramlee selama tiga tahun sebelum berani menerima apa-apa tawaran.

Kata Wak Doyok, 44, cermin serta kawan terdekat turut menjadi tempat untuknya berlatih melontarkan dialog sebagai percubaan menghayati watak dan perwatakan.

“Saya enggan membuang masa pihak produksi dan komitmen pelakon senior untuk berlatih di lokasi penggambaran. Saya tidak mahu mengganggu mereka.

Oleh kerana itu saya hanya berani terima tawaran Datuk Yusof Haslam membintangi filem Abang Long Fadil 2 selepas tiga tahun apabila yakin mampu menggalas peranan diberikan.

“Saya takut penerbit terpaksa menanggung kerugian kos dan masa kalau saya main sambar sahaja tawaran,” ulasnya yang turut membintangi Abang Long Fadil 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok