Jangan berani ambil risiko makan diri – Siti Hariesa

NAMANYA pernah pernah meledak sehingga menjadi sasaran caci maki. Semua itu gara-gara sebuah iklan acah atau teaser memaparkan babak intimnya bersama aktor Zul Ariffin tular dalam media sosial.

Boleh dikatakan, itulah salam perkenalan Siti Hariesa kepada umum. Lahir bersama kontroversi, introduksi hitam itu bagaimanapun tidak sesekali meruntuhkan semangatnya untuk terus mengemudikan layar kerjaya seni yang baru hendak bermula.

Berbulan-bulan menanti, akhirnya permintaan penulis untuk menjadikan pelakon meningkat naik, Siti Hariesa sebagai penghias muka depan sisipan Pose minggu ini tercapai.

Bukan mudah untuk ‘mengunci’ jadualnya yang padat dengan aktiviti penggambaran. Bak kata orang, ‘laku keras’.

Barangkali juga, permintaan tinggi tersebut turut dipengaruhi kontroversi yang tercetus sebelum ini.

SELEPAS ini, Siti Hariesa akan lebih berhati-hati dalam pemilihan watak kerana enggan terpalit lagi dengan kontroversi.

Tidak menolak kebarangkalian tersebut, dia bagaimanapun tetap percaya bakat merupakan aset utama untuk terus kekal bertahan sebagai anak seni berbanding kontroversi.

“Kontroversi drama Perempuan Itu banyak mendewasakan saya sebagai anak seni, khususnya pelakon.

“Banyak saya pelajari daripada perkara tersebut, salah satunya, jangan terlalu berani mengambil risiko yang boleh memakan diri,” katanya.

Melanjutkan bicara, dia mengakui awalnya agak terkejut sehingga tidak tahu cara untuk mengendalikan situasi saat disambar kontroversi.

Namun, atas nasihat orang sekeliling, mengunci mulut adalah pendekatan terbaik daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menaikkan lagi kemarahan ramai.

“Ketika itu agak ‘culture shock’ sebab kerjaya baru bermula kemudian terpalit kontroversi tetapi saya memilih untuk berdiam diri dan tidak membalas semua kecaman ramai.

“Cara itu bagi saya yang terbaik ketika itu. Semakin melawan, semakin marak isu tersebut, jadi lebih baik diam sahaja.

“Sekarang, syukur semuanya telah berakhir, Perempuan Itu pun terima sambutan hangat. Saya bertuah terlibat dalam drama tersebut,” jelas bekas peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 itu.

Ditanya kesediaannya untuk melakonkan babak intim sebegitu lagi, jawabnya tidak! Dia enggan merisikokan kerjaya yang baru dibina.

“Selepas ini akan lebih berhati-hati, dapatkan nasihat dan analisa impak risiko untuk sesuatu perkara.

“Selepas ini, tiada lagi babak sebegitu daripada seorang Siti Hariesa. Kalau boleh mahu elak kontroversi sebab masih terlalu baru, jauh lagi perjalanan saya,” katanya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok