Jang Geun-suk nafi ‘songsang’

Didakwa menjalinkan hubungan sejenis dengan penyanyi Heechul, pelakon Jang Geun-suk tampil menafikan tuduhan tersebut.

Dia bertegas, hubungan mereka berdua tidak lebih sekadar teman tapi mesra.

Menerusi sebuah rancangan temu bual, Geun-suk mengakui sudah lama bersahabat baik dengan Heechul, selain gemar berfesyen ala-ala metroseksual sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

“Dari dahulu hingga kini, terdapat khabar angin bahawa kami berdua bercinta. Kami sangat menyukai fesyen dan ketika itu badan kami benar-benar kurus seperti anak gadis.

“Ada masanya kami berdua memakai pakaian wanita untuk suka-suka selain kerap meluangkan masa bersama, sebab itu orang lihat kami seperti pasangan kekasih,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Geun-suk, jika dilahirkan dengan nafsu sukakan pasangan sejenis, dia tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan hubungan dengan Heechul.

“Kalau saya gay, sejujurnya, saya akan ‘dating’ dengan Heechul. Dia stabil dari aspek kehidupan mahupun kerjaya.

“Dia juga sangat tampan, pembersih dan pandai menghormati orang tua, malangnya saya lelaki normal, biarlah kami bersahabat baik sahaja,” katanya sambil tertawa.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok