[VIDEO] Ibu Maryam belajar solat, tutup aurat 

PEMPENGARUH  media sosial terkenal yang juga pelakon, Maryam Younarae mendedahkan ibunya kini cenderung mendalami Islam.

Selain berpakaian lebih tertutup dan mengelak menyentuh makanan yang mengandungi daging khinzir, ibunya juga membawa pulang telekung ke Korea Selatan selepas bercuti di Malaysia baru-baru ini.

Terdahulu Maryam menarik perhatian netizen apabila berkongsi momen membawa ibunya ke masjid dan memakai telekung di Instagramnya baru-baru ini.

Maryam, 31, yang juga isteri kepada pempengaruh Ryzal Ibrahim itu meluahkan rasa gembira apabila ibunya berminat mendalami gaya hidup seorang Muslim.

Ibu memang sedang belajar tentang Islam, tetapi selagi belum mengucap dua kalimah syahadah belum dikira masuk Islam.

“Sekarang ibu perlahan-lahan cuba jauhi daging khinzir, pakai lebih tertutup malah pakaiannya lebih sopan daripada saya.

“Sebelum ini, bila ibu lihat saya pakai tudung dia sangat risau. Bimbang saya berasa panas dengan keadaan cuaca Malaysia, tetapi sekarang ibu yang minta saya belikan dia tudung dan cuba pakai,” katanya yang sudah tujuh bulan berhijab.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Maryam Younarae (@maryamyunrrr)

Maryam bagaimanapun menjelaskan, dia tidak pernah memaksa ibunya untuk berubah ke arah itu.

Namun akuinya, dia ada berniat untuk membawa ibu tercinta merasai ketenangan di masjid ketika beliau berkunjung ke Malaysia.

“Salah satu Impian saya adalah membawa ibu ke masjid. Jadi, hari terakhir sebelum ibu pulang ke Korea Selatan, kami membawanya ke masjid untuk menunaikan solat Subuh.

Saya tidak paksa ibu solat dan dia hanya duduk di sebelah saya. Namun, saya tidak sangka ketika saya sedang solat ibu ikut pergerakan saya.

“Perkara itu yang membuatkan saya sangat terharu dan sewaktu menghantarnya ke lapangann terbang, ibu meminta untuk membawa pulang telekung yang dipakainya sebelum itu untuk belajar tentang solat,” tutur Maryam dalam nada sebak.

PELUANG membintangi filem Mat Tudung Begins jadi pembuka jalan buat Maryam mengasah bakat lakonan.

Kongsi Maryam lagi, ibunya tertarik dengan gaya hidup masyarakat Malaysia yang lebih santai dan mengutamakan keluarga.

Bahkan ibunya cukup gembira melihat Maryam diterima dan disayangi rakyat negara ini.

Ketika bercakap di telefon, ibu beritahu mahu berpindah ke Malaysia kerana jatuh cinta dengan budaya di sini. Ketika saya bawa ibu ke Dataran Merdeka, dia terkejut lihat yang datang rata-ratanya bawa keluarga.

“Berbeza dengan budaya di Korea Selatan yang lebih banyak habiskan masa bersama kawan-kawan.

“Selain itu, ibu boleh berkomunikasi dengan baik bersama ibu Ryzal walaupun seorang bertutur dalam bahasa Korea dan seorang lagi dialek Kelantan,” ujar Maryam dalam tawa.

Maryam yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem sulungnya, Mat Tudung Begins mengakui terkejut ketika dilamar  Datuk Fizz Fairuz membintangi naskhah itu.

“Saya tidak sangka dapat berlakon filem. Walaupun sedar bakat saya tidak sehebat pelakon lain, mereka sangat baik hati berkongsi ilmu dengan saya.

“Selepas ini, jika berpeluang saya mahu masuk kelas lakonan bagi memperbaiki mutu lakonan,” kata Maryam.

Selain Maryam, filem Mat Tudung Begins turut dibintangi Fizz Fairuz, Achey, Kazar Saisi, Fazlina Ahmad Daud, Isyariana dan Mimi Peri. Filem komedi ini bakal menemui penonton bermula 3 Ogos ini.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HibGlam (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok