Hilang anak detik luka Safwan dalam Malbatt

PELUANG membintangi filem Malbatt: Misi Bakara daripada pengarah Adrian Teh disambut dengan penuh rasa tanggungjawab oleh pelakon baharu Safwan Nazri.

Sedar namanya dalam industri terutama dalam bidang hiburan masih setahun jagung, Safwan menganggap tawaran yang diberikan kepadanya itu umpama satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.

Walaupun menjadi satu-satunya pelakon yang perlu menjalani sesi uji bakat, pemilik nama lengkap Muhammad Safwan

Mohammad Nazri itu tidak kisah asalkan namanya tersenarai sebagai salah seorang pemain dalam filem yang diangkat daripada kisah sebenar tersebut.

Memikirkan peluang yang diberikan itu mungkin hanya datang sekali seumur hidup, bekas finalis Hero Remaja 2017 itu terpaksa meninggalkan sementara isterinya yang ketika itu sedang hamil anak sulung demi menjalani penggambaran di Turkiye.

MEMBINTANGI Malbatt: Misi Bakara satu peluang cukup bermakna buat Safwan,

Walaupun berat hati, Safwan tidak mampu menyembunyikan rasa teruja, apabila menjalani penggambaran bersama barisan pelakon hebat lain.

Isteri keguguran

Bagaimanapun, rasa teruja pelakon berusia 28 tahun itu bertukar hiba apabila mendapat perkhabaran bahawa isterinya mengalami keguguran.

“Bayangkan isteri saya keguguran anak sulung ketika saya tiada di sisinya. Bagi orang lain, mungkin perkara sebegitu adalah biasa. Tapi tidak bagi saya memandangkan usia kandungannya ketika itu sudah pun mencecah empat bulan.

“Semasa saya di Turkiye, isteri memaklumkan bahawa air ketubannya pecah dan mengalami pendarahan. Tujuh hari kemudian, baru isteri memaklumkan bahawa anak kami sudah tiada. Doktor kata hanya lima peratus sahaja peluang untuk hidup,” ujarnya.

Berada jauh di negara orang atas tuntutan kerja, perasaan Safwan ketika itu berbolak-balik sama ada mahu meneruskan penggambaran atau pulang ke Malaysia menemani isteri yang ketika itu berada dalam keadaan sukar.

“Sebelum diberitahu anak kami sudah tiada, setiap hari saya berdoa supaya kandungan isteri selamat dan baik-baik sahaja.

“Saya bergantung kepada Allah SWT. Tapi perancangan Allah itu lain apabila anak kami disahkan meninggal dunia ketika dalam kandungan. Apabila mengetahuinya, saya menangis gila-gila,” jelasnya.

Selama 11 hari berada di Turkiye, Safwan mengakui emosi dan fikirannya terganggu, sehingga dia mahu mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.

SUTRADARA terkenal Adrian Teh banyak memberikan kata-kata semangat kepada Safwan yang bersedih kehilangan anak sewaktu menjalani penggambaran di Turkiye.

Atas pujukan dan semangat daripada rakan-rakan pelakon lain, Safwan kuatkan semangat untuk terus menjalani penggambaran.

“Adrian dan Hairul banyak beri semangat kepada saya. Setiap kali berlakon, saya teringat arwah anak saya yang diberi nama Mohd. Kaif.

“Sejujurnya memang saya tidak ada kekuatan untuk meneruskan penggambaran sebab dalam fikiran, saya hanya terfikir untuk pulang sahaja ke Malaysia. Perasaan teruja tiba-tiba lenyap begitu sahaja.

“Saya telefon keluarga di kampung. Namun mereka menyarankan untuk saya teruskan sahaja penggambaran. Kalau saya pulang sekali pun, anak saya tetap tiada. Tapi setiap hari saya akan menghubungi isteri kerana tidak mahu dia bersendirian,” ujar Safwan yang diberikan rezeki apabila menimang cahaya mata perempuan, Cinta Sofia pada Mac lalu.

Menyentuh tentang watak yang dibawa dalam Malbatt: Misi Bakara, Safwan bertuah apabila diberi peranan penting iaitu sebagai Prebet Isa.

“Dalam kisah sebenar, Prebet Isa merupakan karakter Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang menjadi satu-satunya anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) yang terkorban dalam misi Black Hawk Down di Somalia pada tahun 1993.

“Dalam filem, saya bawakan watak sebagai Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang meninggal dunia ketika misi Black Hawk Down di Somalia.

“Peluang tersebut umpama satu penghormatan kepada saya. Bahkan, saya juga sempat bertemu dengan waris Allahyarham. Saya amat berterima kasih atas peluang yang diberikan,” katanya teruja apabila diberi kepercayaan untuk membawakan watak serius. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok