Filem Adoi Jiwaku rujuk pakar agama – Pengarah 

BELUM pun masuk panggung, filem Adoii Jiwaku telah mencetuskan polemik apabila memaparkan babak dua lelaki muslim menyentuh anjing.

Pengarahnya, Steve Yap berkata, adegan tersebut bukan untuk menjual kontroversi, sebaliknya elemen itu penting bagi menjelaskan situasi sebenar secara visual.

Hakikatnya babak pegang anjing itu bukan sengaja diada-adakan untuk memancing emosi penonton atau sebagai unsur provokasi kerana kami sangat memahami sensitiviti hidup bermasyarakat.

“Biarpun ini kisah komedi, susunan plot serta mainan babak serta perwatakan mempunyai signifikasi supaya penonton memahami penceritaan serta mesej ingin disampaikan.

“Malah kami juga merujuk kepada pakar agama agar tidak berlaku isu berbangkit di kemudian hari, selain bertanyakan persetujuan pelakon dulu sebelum membuat babak tersebut,” katanya kepada HibGlam.

PENERBIT Adoiii Jiwaku, Aron Koh (kiri) dan sutradara, Steve Yap menjulang trofi kemenangan di MIFFest6, baru-baru ini.

Menurut Yap yang juga penulis skrip dan antara penggalas watak, penonton perlu mengikuti dahulu naskhah terbitan Lomo Pictures itu di pawagam pada 7 September ini sebelum membuat sebarang andaian.

Babak itu memaparkan Ali dan seorang lagi pelakon, Anuar Abdul Hamid memegang anjing kerana mahu membantu melepaskan haiwan itu yang dalam kesakitan.

Dia yang meluahkan rasa lega apabila akhirnya skrip disimpan selama 10 tahun itu dapat direalisasikan turut teruja melihat sambutan awal penggiat seni.

Filem lakonan Ali Arami, Allahyarham Adibah Noor, Amber Chia, E Ramanamohan, Anuar Abd Hamid dan Daniel Sher turut ditayangkan Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2023.

Sudah tentu saya berbesar hati apabila wakil delegasi dari luar negara turut memberikan maklumbalas positif terhadap kisah yang diketengahkan.

“Secara tidak langsung itu memberi petanda Adoii Jiwaku mampu menarik perhatian penonton datang ke pawagam September nanti.

“Banyak mesej yang ingin disampaikan dalam filem berlatarkan genre komedi ini apabila turut meraih trofi Pilihan
Audien dalam MIFFest, baru-baru ini,” ulasnya lagi.

Sementara itu, penerbitnya, Aron Koh pula menyatakan filem bertemakan persahabatan itu sarat pelbagai emosi yang pasti membuatkan penonton ketawa dan sayu.

“Pastinya khalayak tidak akan kering gusi menonton telatah setiap watak, tetapi pada masa sama tetap merasa sayu dengan permainan emosi yang diselitkan,” katanya.

Kisah naskhah terbitan bersama MM2, MCM Cometro, Ant3, Fortune Studios dan Shinjuru itu mengenai tiga sekawan berbangsa Melayu, Cina dan India yang mempunyai perspektif berbeza sehingga kerap bertelagah.

Dalam satu peristiwa yang bermula dengan gurauan di pejabat, renjatan elektrik menyebabkan Sia, Ayis dan Malesh bertukar badan antara satu sama lain.

Mereka gagal menyesuaikan diri dengan situasi itu memandangkan terpaksa hidup dalam badan orang lain sekali gus berdepan cabaran untuk kembali ke jasad asal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok