Farid Kamil berseri-seri, cari ketenangan dengan ‘bersuluk’

PERKONGSIAN pelakon Farid Kamil bersama sekumpulan jemaah tabligh mencuri tumpuan pengikutnya dalam Instagram.

Menerusi video yang dikongsikan Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, pelakon berusia 42 tahun itu dilihat memakai serban yang dililit oleh seorang ustaz ketika berada di sebuah masjid.

Bekas suami kepada pelakon Diana Danielle itu dipercayai sedang ‘bersuluk’, iaitu proses mengasingkan diri untuk bertafakur atau menenangkan fikiran bagi mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Alhamdulillah. Terima kasih semua yang mendoakan. Saya pun doakan kamu semua bahagia di dunia dan akhirat.

“Kita boleh merancang, kitab oleh usaha. Ketetapan tetap pada yang punya kuasa (Allah),” tulisnya.

Ketika kain serban itu dililitkan di kepalanya dalam sebuah masjid, kelihatan bapa kepada dua orang cahaya mata itu tersenyum gembira sambil disaksikan beberapa jemaah lain.

Dalam video sama, pelakon filem Remp-It itu turut berkongsi gambar bersama kumpulan jemaah tabligh dengan wajahnya berseri-seri.

Dalam ruangan komen, ramai pengikutnya mendoakan agar Farid sentiasa istikamah dan tenang berdepan dengan ujian yang menimpanya.

“Semoga dipermudahkan dan istikamah. Amin,” ujar seorang pengikutnya.

Farid mencari kekuatan dan ketenangan untuk melepaskan. Semoga Farid terus kuat semangat dan mendapat rahmat daripada Allah SWT,” ujar seorang pengguna Instagram.

“Apabila kita ditimpa ujian dan dugaan, kita dekatkan diri dengan agama adalah sebaik-baiknya. Semoga dipermudahkan urusan dan dikurniakan lebih kebahagiaan selepas ini,” kata seorang lagi pengikutnya.

Semalam, rumah tangga yang dibina Farid bersama Diana akhirnya menemui titik noktah apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari.

Farid yang tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan melafazkan cerai terhadap Diana secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan didengar oleh Hakim Syarie, Shukran Yusof.

Pergolakan rumah tangga pasangan itu mula tercetus selepas aktres itu memfailkan cerai pada 10 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai dengan Farid.

Pasangan itu berkahwin pada tahun 2012 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 10 serta Nur Aurora yang kini berusia lapan tahun. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok