Eyka Farhana abaikan cerita mengarut

PELAKON genit, Eyka Farhana tidak melihat kehadiran bakat baharu sebagai ancaman. Baginya, kemunculan ramai bintang muda menjadi bukti industri hiburan semakin rancak.

“Saya pernah berada di posisi mereka membuatkan saya yakin setiap pelakon punya peluang
sama rata dan kena usaha untuk membuktikan kemampuan.

“Cuma dalam bekerja saya berbalik kepada kualiti. Hanya ambil satu tawaran pada satu masa dan kemudian ‘healing’ sebelum masuk ke set lain,” tambahnya.

Pelakon yang pernah tampil bersama single berjudul Laki-Laki itu turut berasakan pengalaman lebih sedekad perjalanan kerjaya menjadikan dirinya semakin berdepan gosip.

Katanya, suka atau tidak perkara terbabit adalah asam garam dunia seni, tetapi apa yang berbeza adalah cara mendepani situasi.

“Saya juga manusia biasa yang tak lari daripada kekhilafan. Mungkin dulu saya akan beremosi jika membaca gosip tidak betul, sekarang perkara seperti itu kita abaikan saja jika tidak betul.

“Apa pun kesihatan mental juga penting. Saya ambil pendekatan abaikan cerita mengarut selain jika tiada penggambaran atau kerja lain, duduk di rumah saja atau keluar dengan kawan rapat,” katanya.

Sibuk di lokasi penggambaran filem seram, Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan sutradara Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Eyka mengakui dirinya seorang yang penakut biarpun berlakon dalam kisah rekaaan semata-mata.

Babak kubur

Menghampiri beberapa hari terakhir di lokasi penggambaran, Eyka bagaimanapun bersyukur banyak adegan penting dapat disempurnakan dengan bantuan pelakon lain, kru serta pengarah.

“Memang saya tidak sekuat mana, kiranya agak penakut tetapi lepas baca skrip serta alur kisah buatkan saya teruja apatah lagi dapat berada satu layar dengan ramai pelakon hebat.

“Sudah 12 tahun berada dalam industri, boleh dikatakan ini watak utama dalam filem suspens seram yang pernah saya galas.

“Antara babak yang saya tak boleh lupa sepanjang berkampung di hutan dan berada di dalam kubur selama beberapa jam,” kongsinya.

Bercerita lanjut, biarpun bukan di kawasan perkuburan sebenar, selain lubang yang baru digali, situasi tersebut tetap menyuntik perasan berbeza.

“Ikutkan penggambaran lokasi awal berlangsung di Kemensah, Hulu Klang. Jadi perasaan
menjalani penggambaran pada waktu malam agak berbeza.

“Untuk adegan kubur, saya memang kena masuk lubang berkenaan. Bunyi unggas serta kesunyian hutan selain aroma tanah baru digali menggandakan perasaan seram.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Dari hari pertama lagi saya ingat petua orang tua iaitu jaga mulut dan kelakuan di mana-mana kita berada,” katanya ketika ditemui HibGlam, baru-baru ini.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok