Epik rasukan Search di puncak Genting

KONSERT mega Search Fantasia Bulan Salju yang menghimpunkan lautan manusia pelbagai lapisan usia di Arena of Stars baru-baru ini menjadi saksi taring Search masih berbisa.

Genting Highland menjadi saksi gelanggang fiesta rock yang disambut gema suara peminat sebaik ikon rock, Datuk Amy dan rakan seperjuangannya menjejakkan kaki di pentas.

Aura dendangan menggamit memori Search tak lapuk dek zaman apabila berjaya membuat kira-kira 5,000 penonton khayal dibuai seleksi malar segar sejak kumpulan legenda itu mendominasi arena muzik bermula 1980.

Tepat pukul 8.40 malam, kemunculan vokalisnya, Amy diiringi barisan kumpulan Search disambut jeritan penonton yang sudah lama kehausan hiburan langsung daripada kumpulan pujaan mereka.

Kepuasan maksima apabila penonton dihiburkan dengan 26 lagu hits tanpa henti sepanjang tiga jam konsert berlangsung.

Konsert berdurasi hampir tiga jam dinikmati seiring sorakan penuh tenaga penonton tanpa henti membangkitkan lagi gelora jiwa rock yang berlegar memenuhi gelanggang.

Antara repertoire persembahan merangkumi Bencana, Derap Komando, Langit dan Bumi, Menawan Rasa, Gelora Cinta diikuti dengan lagu-lagu hits yang pernah mencipta fenomena seperti Gelora Cinta dan Honky Tong Kosong.

Amy melantunkan sebanyak 26 dendangan termasuk lagu hits yang pernah menjadi fenomena dalam arena muzik tanah air suatu ketika dahulu bahkan masih berkumandang di corong radio sehingga kini.

Dengan lambakan seleksi popular sedia ada, Search tidak perlu menahan penonton untuk terus duduk di kerusi dengan memeram lagu hits di akhir persembahan seperti yang dipraktikkan penyanyi atau pemuzik lain.

Bayangkan, Fantasia Bulan Madu didendangkan seawal lagu ketujuh membuktikan lagu malar segar tersebut sentiasa meniti di bibir setiap penonton yang hadir sekian banyak masa.

AMY mempamerkan tenaga luar biasa hebat apabila berjaya menguasai pentas seperti zaman mudanya dahulu.

 

Tidak terhenti di situ, momentum konsert dimantapkan dengan persembahan seakan-akan membawa penonton kembali ke masa lalu menerusi alunan melankolik seperti Rozana, Laila Namamu Teratas dan Nigina.

Search berjaya merasuk audiens untuk terus menikmati antem ‘kebangsaan’ mereka menerusi dendangan Tiada Lagi, Gadisku, Kejora dan Isabella.

Tiada frasa yang dapat menggambarkan situasi malam bersejarah itu selain ‘epik’. Hampir tiada cacat celanya, suara Amy jelas lantang seperti zaman mudanya, sistem audio juga tidak terlalu bingit seiring cemerlangnya pencahayaan pentas jua paparan skrin LED.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok