Ella nafi Facebook digodam gimik konsert jelajah 

“TIDAK, Facebook saya kena godam bukanlah satu perancangan mahu pun gimik, dahulu saya padam gambar dalam Instagram juga bukanlah dirancang untuk konsert sebelum ini.”

Demikian respons Ratu Rock negara, Ella terhadap dakwaan kononnya kisah penularan laman Facebooknya digodam sebagai gimik siri konsert jelajah Ella Puteri Kota yang bakal berlangsung di Pulau Pinang, 28 Oktober depan.

Katanya, kes berkenaan sudah dilaporkan di dua balai polis, sekali gus membuktikan isu membabitkan pihak tidak bertanggungjawab tersebut tiada kena mengenakan dengan promosi konsert jelajahnya.

“Saya sudah buat laporan polis dan telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menangani isu ini.

Demi kebenaran, saya pergi dua balai polis iaitu di Ibu Pejabat Daerah Sungai Buloh dan Shah Alam atas laporan mencalarkan imej saya dengan memuat naik kandungan yang ‘bukan-bukan’ dalam paparan Facebook tersebut,” kata Ella.

Pelantun lagu Sembilu itu juga sedaya upaya mahu mendapatkan kembali akaun Facebook miliknya yang mempunyai lebih 500,000 pengikut.

Saya dan pihak pengurusan sudah ikut semua langkah yang dicadangkan SKMM, tetapi status terkini masih dalam proses dan sekarang dalam usaha untuk dapatkan balik akaun tersebut. Harap akaun saya boleh diselamatkan,” ujarnya lagi ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun yang ke-57, malam tadi.

Berkongsi lanjut mengenai konsert jelajahnya, acara yang bakal berlabuh di Pulau Mutiara bukan sahaja atas permintaan peminat di Utara, namun lebih bermakna lagi, Pulau Pinang merupakan negeri kelahirannya.

Malah, isteri Kapten Azhar Ghazali itu menyifatkan konsert tersebut sebagai hadiah istimewa buat peminat yang menyokongnya dari dahulu hingga ke hari ini.

“Kita mahu, kalau boleh bukan orang Pulau Pinang sahaja datang tapi semua orang di sebelah utara tidak kira Kedah, Perlis dan sebagainya.

Niat saya mahu semua peminat, dari tahun pertama kemunculan saya dalam industri sampai sekarang datang tengok konsert ini. Konsert ini hadiah saya untuk mereka.

“Saya mahu peminat gembira. Biarlah semua peminat, tak kira apa sahaja latar belakang mereka sekurang-kurangnya sekali dapat tengok konsert saya,” katanya lagi.

Lebih menarik, konsert itu akan menampilkan kelainan susun atur pentas, set lagu, artis jemputan bahkan harga tiket juga lebih murah.

Terdapat 50 peratus perbezaan daripada konsert terdahulu di Axiata Arena seperti pentas 360 darjah, senarai lagu yang akan dinyanyikan, artis jemputan istimewa dan harga tiket yang lebih murah,” ujarnya.

Sebelum ini, pada Mac lalu penghibur tersebut pernah memadam semua gambar dalam laman Instagram miliknya yang didakwa netizen sebagai gimik Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota.

Bagaimanapun, Ella menepis tanggapan berkenaan sebaliknya menyatakan dia berbuat demikian supaya peminat fokus kepada ucapan penghargaan ditulis atas sokongan sepanjang 35 tahun dalam bidang seni. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok