Dulu tak dipandang, kini Nadeera antara yang terbaik – Zainal Abidin

“Teknik nyanyian Nadeera sangat hebat, rasa bangga apabila ramai sudah buka mata dan sedar kehebatannya sebagai penyanyi. Ini rezekinya.”

Itu respons penghibur tersohor, Datuk Zainal Abidin yang menzahirkn rasa bangga apabila bekas protegenya, Nadeera Zaini kini diterima ramai.

Menurut Zainal, 64, bakat besar dimiliki juara Big Stage (BS) 2023 itu sememangnya tidak harus disia-siakan malah dia turut berbangga apabila Nadeera terpilih beraksi dalam konsert Cakra Khan yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur 17 September depan.

Dia memang layak untuk berada dalam konsert itu. Pada pendapat saya, dia sebenarnya lebih bagus daripada Cakra sendiri kerana sangat versatil dalam teknik nyanyian,” katanya kepada HibGlam semalam.

Pelantun lagu Hijau itu juga turut merasakan dirinya tidak mampu untuk mencapai tahap nyanyian yang hebat seperti Nadeera.

Saya yang sudah menyanyi selama 40 tahun ini pun tidak mampu untuk membuat persembahan sehebat Nadeera. Dia lebih bagus daripada saya.

“Dulu orang tak pandang pun bakat dia kerana dikatakan tidak mempunyai pakej lengkap, sekarang Nadeera antara yang terbaik.

“Kini, peluang sudah terbuka luas kepadanya. Terpulang kepada Nadeera untuk menggunakan semua yang diraihnya pada hari ini dengan cara apa pun,” ujarnya.

Terdahulu, Nadeera atau nama penuhnya Farah Nadeera Zaini pernah menjadi protege Zainal dalam program Mentor Legend sekitar tahun 2014 yang turut disertai Aina Abdul iaitu protege kepada Ella. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok