Dulu meroyan kena kutuk, kini saya lebih terbuka – Amelina

“Sekarang saya sudah pandai relaks. Kalau darah muda dahulu, entah berapa ramai orang saya maki terutama jika nama terpalit dengan berita palsu.

Demikian perkongsian penyanyi dangdut, Amelina yang mengakui kini lebih tenang berhadapan kontroversi seiring peningkatan usia apabila tidak lagi mudah melatah diusik gosip nakal.

Kata wanita berstatus ibu tunggal itu, ketika zaman muda, dia antara artis yang lantang bersuara andai dikaitkan sesuatu isu tidak benar selain mudah naik angin.

“Dahulu tiada media sosial, jadi keadaannya tidaklah seperti sekarang. Mungkin saya jadi juara viral pada waktu itu kalau Instagram atau TikTok sudah wujud.

“Apa pun seiring peningkatan usia kita berubah ke arah yang lebih baik, semakin matang dan mengutamakan ketenangan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Malah, penghibur yang pernah mencetuskan fenomena pada zaman kemuncak sekitar akhir 90-an turut mengakui terbuka berdepan kritikan dalam laman sosial.

Katanya, selepas bertahun kembali aktif di lapangan hiburan, platform penghubung antaranya dengan peminat itu dimanfaatkan sebaik mungkin demi perkembangan kerjaya.

“Saya masih ingat ketika mula buat kemunculan semula, saya meroyan kena kutuk tetapi sahabat baik saya, Allahyarham Maya matahari bagi nasihat meminta saya bertenang.

“Memang tidak dinafikan, kadang-kadang baca komen, hati jadi panas namun muncul semula pada era media sosial tengah hangat sama ada suka atau tak kita kena berdepan realiti.

“Walaupun waktu itu kerap dikecam, ada ketikanya saya rasa seronok sampai ketawa memikirkan betapa kreatifnya netizen ‘membahan’ selebriti,” katanya yang akan beraksi di Goyang Asia Koplo Milenia Live in Kuala Lumpur.

Bakal berlangsung di Stadium Malawati pada 30 September ini, pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin itu teruja berkongsi pentas dengan Ani Mayuni serta empat figura dangdut Indonesia, Siti Badriah, Fitri Carlina, Hety Klepek-klepek dan Rheyna Morena.

“Paling penting persediaan untuk konsert mega itu nanti adalah stamina yang maksimum dan memastikan kesihatan berada di tahap terbaik,” luah Ratu Dangdut berusia 49 tahun itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok