Itu pahala tanpa ibadah – Doa Ungku buat Nad Zainal

KETIKA nama isterinya, pelakon Nad Zainal hangat diperkatakan, aktor Ungku Ismail tampil mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sekeping foto memaparkan doa buat individu yang menjadi mangsa gosip.

Perkongsian Ungku atau nama lengkapnya Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz, 38, itu seolah-olah tanda sokongan kepada isterinya yang kini dikatakan berdepan kemelut persahabatan dengan beberapa rakan artis termasuk Nabila Huda dan Sharifah Sakinah.

“Catatan kecil untukmu yang jadi korban para penggosip. Orang yang dibelakangmu suka membicarakan aib dan kekuranganmu.

“Mencari-cari kesalahan atau kadang memfitnahmu, mungkin dia akan membahayakan duniamu. Tapi yang jelas sangat bermanfaat buat akhiratmu kerana menghantar pahalanya.

“Maka, biarkan sahaja dia meneruskannya. Lumayankan dapat menghantar pahala percuma tanpa harus beribadah,” kongsinya dalam hantaran Instagram.

Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila aktres yang pernah menjadi rakan karibnya, Nabila Huda dengan selamba menyatakan tidak mengenali individu bernama Nad Zainal.

Nabila atau lebih mesra disapa Abil lebih dulu menuai perhatian apabila meninggalkan komen menyatakan tidak mengenali Nad di hantaran dalam Instagram memaparkan temu bual isteri Ungku Ismail bersama media.

Dalam temu bual tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu enggan mengambil kisah atau mengusutkan pemikiran dengan isu remeh seperti pergaduhan dalam persahabatan.

Spekulasi bermasam muka antara mereka mula bertebaran selepas Nad pulih daripada koma akibat pendarahan dalam paru-paru sebelum mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ungku pada Januari lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok