Cukuplah! Tiada lagi babak ‘mesra’ selepas ini – Afieq Shazwan

“Ketika diminta buat babak mesra itu (merangkul Fasha) saya agak berat hati sebab tak biasa.  Selepas ini mungkin tidak akan ada lagi paparan sebegitu kerana saya sendiri pun tak selesa.”

Demikian respons pelakon Afieq Shazwan apabila aksi merangkul Fasha Sandha dalam Rampas Cintaku 2 dikecam teruk netizen.

Menurut aktor berusia 26 tahun itu, segala teguran diterima dengan sepenuh hati bahkan selepas ini dia akan lebih peka selain berhati-hati dalam menjaga batasan.

“Nak tolak pun tak boleh, saya dah setuju untuk musim dua ini. Sebenarnya bila tengok balik bagi saya adegan itu ‘under control’, ada yang lebih daripada itu diminta buat tetapi saya tolak.

“Secara peribadi, cukuplah tampil dengan babak mesra dalam cerita ini, lepas ini tiada lagi. Saya yang pilih begitu kerana rasa tak selesa,” katanya yang memulakan karier sebagai penyanyi.

Afiq bagaimanapun memaklumkan sebelum melakukan babak itu, dia mendapatkan keizinan suami Fasha iaitu Aidil Aziz terlebih dahulu.

Katanya, Aidil yang turut membintangi drama bersiri terbabit memahami kehendak skrip serta keperluan adegan asalkan tidak melampau.

“Saya sedar benda itu boleh mengundang kecaman dan saya sendiri ada tanya kak Fasha macam mana kalau kena kecam.

“Niat kita untuk bekerja sahaja, tak lebih daripada itu. Digambarkan watak kami pun sudah berkahwin, jadi mesranya kena lebih bagi membezakan hubungan dengan musim pertama, tetapi tidaklah berlebihan.

“Suami kak Fasha, Abang Aidil pun turut berlakon dalam drama ini dan dia pun memahami. Dia kata kita kena profesional.

“Kami tiada niat cetuskan kontroversi, cuma tak jangka benda itu jadi perhatian,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media Demi Negaraku dan pelancaran Home of Kid, baru-baru ini.

Sebelum ini tular video dan foto memperlihatkan adegan mesra antara Afieq dan Fasha yang menjadi isterinya dalam drama berkenaan ketika menjalani penggambaran sekitar bulan lalu.

Afieq yang memuat naik gambar dan klip video di tepi pantai menerusi Instagramnya menuai kecaman netizen yang menempelak aksi mesra mereka.

Sementara itu, naskhah untuk siaran platform penstriman yang masih menjalani penggambaran dijadualkan menemui penonton dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM

Foto Iskandar Ishak

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok