Chef Wan hidap kanser limfoma, bakal jalani kimoterapi

TUJUH bulan selepas pemergian ibu tercinta, cef selebriti terkenal, Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan mendedahkan dirinya disahkan menghidap kanser limfoma.

Katanya, hasil keputusan ujian electrocardiogram (ECG) yang dijalani sebanyak dua kali menunjukkan kehadiran sel kanser tersebut.

“Saya baru sahaja menjalani ujian ECG saya tadi. Pada pukul 3 petang doktor menyampaikan berita tentang keputusan biopsi saya.

“Mereka terpaksa menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan tersebut. Saya menghidap kanser limfoma,” katanya menerusi perkongsian di Instagram, semalam.

Begitupun, akui personaliti popular berusia 65 tahun itu, penyakit berkenaan masih pada tahap awal malah doktor memaklumkan ada peluang untuk sembuh antara 70 hingga 80 peratus.

Kongsinya lagi, dalam masa terdekat ini dia perlu menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 13 kitaran untuk tempoh selama 13 minggu.

“Pada peringkat ini, peluang untuk sembuh biasanya adalah 70 hingga 80 peratus. Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang.

“Saya juga akan menjalani kimoterapi dan memulakan rawatan itu serta-merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu,” tambahnya.

Sempat berseloroh, Chef Wan mengakui tidak dapat membayangkan perubahan fizikalnya terutama keguguran rambut yang bakal dilalui selepas menjalani kimoterapi.

“Doktor kata saya akan mula kehilangan rambut. Ya Tuhan, saya sudah mula membayangkan diri saya dengan rambut palsu yang hebat seperti gaya Elvis Presley, M. Daud Kilau, Samy Velu, Liberace dan ramai lagi.

“Saya akan alami muntah seperti dilakonkan Linda Blair dalam filem Exorcist dan juga cirit-birit yang tiada kesudahan,” katanya lagi.

Menerima takdir dengan hati terbuka, Chef Wan turut memaklumkan anak perempuan, Serina dan menantunya tidak mampu menahan sebak mendengar berita duka ini.

“Saya menerima semua ujian ini dengan hati terbuka dan berani. Inilah kehidupan, anda hanya perlu melaluinya satu demi satu dengan cara positif.

“Anak perempuan dan menantu saya kecewa mendengar berita ini, tetapi saya kata jangan menangis, saya okay. Saya belum pergi lagi.

“Saya perlu kuat dan sihat kerana saya juga perlu menjaga ramai orang. InsyaAllah, Allah akan jaga saya,” luah personaliti kesayangan ramai itu.

Cef yang terkenal dengan sikap peramah itu turut meminta orang ramai jangan bimbang dengan keadaan dirinya, selain menzahirkan terima kasih atas doa.

“Terima kasih atas semua doa dan ucapan anda. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama, supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain pada masa hadapan,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok