Carilah suami mampu lentur isteri jadi lebih baik – Nad Zainal 

IMPIAN pelakon Nad Zainal untuk memiliki pasangan hidup yang penyayang dan bijak jadi kenyataan apabila aktor Ungku Ismail Aziz menyuntingnya sebagai isteri pada Januari lalu.

Akui Nad, Ungku Ismail mempunyai ciri-ciri lelaki idaman sehingga berjaya membuka pintu hatinya untuk berumah tangga sekali lagi.

“Saya suka lelaki yang bijak, pandai bawa diri, berpengetahuan dalam agama termasuk menjaga solat.

“Dia kena serba-serbi bijak jika hendak dibandingkan dengan saya. Sukar untuk dapatkan ciri-ciri lelaki sebegitu bagi meraih hormat daripada saya.

“Ungku ada kualiti-kualiti itu yang membuatkan saya jatuh cinta kepadanya. Dia suami, bapa serta anak yang baik,” katanya dalam siaran langsung TikTok baru-baru ini.

Dalam pada itu, bintang drama Dendam Seorang Isteri itu turut mengakui dirinya wanita yang masih mengamalkan konsep suami adalah ketua keluarga dan harus dominan daripada isteri.

“Hari ini, ramai kaum wanita mengambil tugas lelaki dan mendominasi keluarga.

“Saya seorang wanita tradisional, suka lelaki yang bersifat dominan dan menjadi ketua keluarga,” jelasnya.

Katanya, lelaki yang memiliki kriteria sebegitu layak dipilih sebagai suami selain mampu menjaga ibu bapa isteri dengan baik.

Baginya, ciri-ciri tersebut amat penting untuk membentuk keperibadian isteri menjadi insan yang lebih baik selepas berkahwin.

“Perkara itu sangat penting.  Carilah bakal suami yang mampu menyayangi ibu bapa kita seperti dia jaga keluarganya. Ciri itu saya jumpa dalam diri Ungku.

“Masih terlalu awal nak cakap banyak sebab baru kahwin kurang setahun. Selain itu kami sekepala, suka makan dan berjalan.

“Carilah lelaki yang boleh melentur anda dan mampu bawa ke jalan yang benar,” katanya lagi.

Nad sebelum ini mengejutkan ramai apabila memaklumkan sudah bernikah dengan Ungku Ismail di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 23 Januari lalu.

Kini, Nad hamil anak pertamanya dengan Ungku dan dijangka bersalin pada Oktober depan.

Terdahulu, pelakon asal Kajang, Selangor itu mengesahkan perceraiannya dengan Faliq Amiruddin pada Ogos tahun lalu.

Hasil perkahwinan dengan Faliq, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Fahad Ibrahim, 7, dan Budi Kalsom, 2.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok