Belum ditayangkan, Adoiii Jiwaku! curi perhatian MIFFest6

KARYA tempatan arahan Steve Yap, Adoiii Jiwaku!  meraih trofi khas Audience Award pada Festival Filem Antarabangsa Malaysia keenam (MIFFest6) yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Filem yang bakal ditayangkan mulai 7 September depan memikat perhatian juri atas kesungguhan mengangkat kisah kepelbagaian kaum di Malaysia sebagai tema penceritaan.

Di kerusi pengarah, Steve yang juga pelakon serta model berkata, walaupun filem berkenaan meraih kritikan apabila menyelitkan babak bersentuhan dengan anjing, pada akhirnya orang ramai faham maksud yang ingin disampaikan.

“Terima kasih atas kepercayaan juri mengangkat filem ini sebagai penerima anugerah khas, sekali gus membuka ruang untuk khalayak lebih memahami intipati kisah yang ingin dikatakan,” katanya.

Filem Indonesia menang besar

Kategori Filem Terbaik MIFFest6 pula memihak kepada naskhah Autobiography dari Indonesia berkisar kehidupan penjaga rumah dan pembantu kepada Jeneral Bersara, Purnawinata yang bertanding sebagai wakil raja.

Filem yang menggabungkan pengkarya pelbagai negara termasuk Perancis, Jerman, Filipina dan Singapura tersebut turut membolot trofi utama lain.

Antaranya adalah pengiktirafan bagi kategori Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Aktor Pembantu Terbaik.

Pengarahnya, Makbul Mubarak berkata, karya berkenaan menjadi lambang kepatuhan seorang anak Indonesia terhadap individu penting dalam kehidupan yang diterjemah menerusi watak Rakib.

Autobiography adalah sebuah karya yang direalisasikan secara bersama dengan ramai penggiat negara lain untuk santapan minda penonton.

“Sebagai naskhah istimewa, tentu sahaja kami mahu mendedikasikan filem ini buat semua pejuang kehidupan,” katanya pada sidang media usai MIFFest6.

Dipancarkan secara langsung menerusi TV2, lebih 12 trofi diumumkan membabitkan penyertaan 42 filem yang disenarai pendek dari 15 negara.

Filem Jepun yang menyentuh sensitiviti membabitkan warga emas, Plan 75 menyusul sebagai penerima trofi kedua terbanyak dalam majlis tahunan berkenaan.

Buah tangan garapan sutradara Chie Hayakawa tersebut meraih pengiktirafan Aktres Terbaik menerusi lakonan Cheiko Baisho dan Aktres Pembantu Terbaik (Stephanie Arienni).

Sebuah lagi naskhah yang menyerlah adalah Let The Dance Begin apabila dicalonkan dalam beberapa kategori, namun karya Argentina tersebut hanya membawa pulang satu trofi iaitu Aktor Terbaik hasil lakonan mantap Dario Grandinetti.

Sebagai pelengkap, penganjur menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada bintang legenda Taiwan, Sylvia Chang, 70, atas sumbangannya terhadap industri perfileman Asia.

Pelakon yang aktif sejak usia 18 tahun itu menyatakan rasa terharu atas pengiktirafan tersebut selain berkongsi pengalaman lampau dengan 1,000 tetamu MIFFest6.

“Pertama kali menjejakkan kaki ke set penggambaran sekitar 52 tahun lalu, saya tahu itulah tempat saya akan berada sampai bila-bila,” kata pelakon yang dikenali menerusi karya Aces Go Places.

Sementara itu, Pengasas MIFFest, Joanne Goh, berbesar hati apabila penganjuran edisi kali ini mendapat liputan meluas hingga ke luar negara, sekali gus mempromosikan industri perfileman dan pelancongan tempatan.

Tahun ini, penjurian 45 calon terbaik daripada 300 filem turut menyaksikan panel berkredibiliti dari beberapa negara.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok