Anugerah TikTok 2023 medan satukan pempengaruh, selebriti idola ramai

TIKTOK bukanlah aplikasi yang asing lagi, bahkan sudah menjadi platform kegemaran pelbagai lapisan usia termasuklah warga emas.

Sejak memulakan operasi, TikTok telah menjadi platform yang memupuk semangat ekspresi kreatif, tulen dan positif serta mencorak sebuah komuniti yang utuh dan inklusif melalui sejenis medium yang dikongsi bersama menerusi perkongsian video.

Berlatarkan pelbagai topik merangkumi pendidikan, makanan dan penjagaan diri, pempengaruh dan komuniti pencipta kandungan dalam TikTok telah berjaya membentuk segmen serta pengaruh tersendiri.

Justeru, ramai pempengaruh dan pencipta kandungan cemerlang mencipta pengisian sekali gus meninggalkan jejak mereka dalam For You Page (FYP).

Rentetan itu, buat julung kalinya Anugerah TikTok 2023 diadakan bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada pencipta tempatan berbakat yang berani mencabar batasan kreatif seterusnya menjadi sumber inspirasi kepada komuniti.

Malam kemuncak Anugerah TikTok Malaysia 2023 dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 27 Ogos dengan menghimpunkan yang terbaik dalam arena penciptaan kandungan.

Anugerah yang berlangsung buat julung kalinya ini meraih perhatian pelbagai pihak untuk tampil sebagai penaja.

Majlis anugerah tersebut juga berlangsung pada bulan kemerdekaan bersesuaian bagi meraikan bakat-bakat tempatan berserta kandungan mereka yang merangkap nadi Malaysia untuk dinikmati para penonton di serata dunia.

Ketua Pemasaran dan Operasi, TikTok Malaysia, Yin Yin Hooi, berkata pihaknya teruja membawakan anugerah ini bagi meraikan pencapaian dan usaha luar biasa ditonjolkan pencipta kandungan digital di platform tersebut.

Yang gah di skrin kecil

Mengangkat tema Yang Gah di Skrin Kecil, Yin Hooi percaya anugerah berkenaan bakal menjadi batu loncatan buat pencipta kandungan digital untuk mendapat pendedahan lebih meluas.

Kami teruja membawakan TikTok Awards kepada rakyat Malaysia bagi meraikan pencapaian dan usaha luar biasa dipamerkan warga pencipta yang merupakan tulang belakang platform ini.

“Tema Yang Gah di Skrin Kecil mendemonstrasikan potensi membatasi sempadan untuk warga pencipta kita menggandakan dan mempersembahkan kejayaan mereka di atas pentas besar,” jelasnya.

Bagi edisi pertama, sebanyak 13 kategori dipertandingkan berdasarkan dua blok, Pilihan Juri dan Pilihan Peminat.

Tujuh kategori Pilihan Peminat (People’s Choice) termasuklah kategori Creator of the Year, Rising Star of the Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of the Year, Celebrity of the Year, Live Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year.

Kategori yang Pilihan Juri yang dipertandingkan adalah Best of Beauty & Fashion, Best of Education, Best of Entertainment, Best of Foodie, Best of Gaming dan Best of Sports.

Bagi Pilihan Juri, calon dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan keputusan akan ditentukan barisan panel eksekutif.

Antara panel juri terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof dan Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra.

Artis prolifik, Hael Husaini juga turut terlibat sama dalam pemilihan 10 calon terbaik bagi enam kategori tersebut.

HOS TikTok Awards 2023 terdiri daripada Amelia Henderson, Sherry Al-hadad, Neeta, Sissy Iman, Ceddy dan Izzue Islam.

Penonton tidak hanya dapat melihat pempengaruh dan pencipta kandungan pujaan dalam TikTok, malah disajikan juga dengan persembahan istimewa daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tidak terhenti di situ, penonton juga akan dihiburkan penyanyi hebat tanah air yang lain seperti Ziana Zain, Zeppo, Dolla, Marsha Milan, Ernie Zakri dan Alyph.

Bagi penyampai trofi pula, pentas anugerah tersebut bakal diserikan barisan selebriti dan pencipta kandungan termasuk, Datuk Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann dan ramai lagi

Majlis anugerah bakal dikemudi Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson, manakala acara karpet merah pula dihoskan Ceddy dan Sissy Imann.

Detik dan coretan belakang pentas pula menampilkan Jaa Suzuran dan Neeta Manis sebagai hos.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok