Adeline Tsen, pelakon jadi ‘influencer’

LAMA menghilang dari radar lakonan, pelakon, penyanyi dan pengacara Adeline Tsen mengakui fokusnya kini tertumpu terhadap kerjaya sebagai pempengaruh media sosial atau senang disebut influencer.

Disebabkan peralihan sayap kerjaya, wajahnya jarang muncul dalam kaca televisyen mahupun layar perak. Malah, ada yang menyangka wanita berusia 37 tahun itu sudah tidak aktif dalam lapangan seni.

Menyangkal dakwaan, Adeline bertegas, tahun ini dia bakal muncul dengan tiga buah filem iaitu Speed Boh, Hujan Merah dan sebuah lagi naskhah yang belum mempunyai judul.

“Saya masih aktif dalam bidang seni, tidak bersara dan tidak hilang ke mana-mana. Cuma selepas 10 tahun menjadi pelakon, sekarang saya lebih memilih.

“Memang saya akui, saya sudah jarang berlakon drama kerana lebih memberi tumpuan kepada filem. Saya bermula dengan filem, jadi sekarang ini fokus saya adalah filem,” kata wanita kelahiran Kota Belud, Sabah itu lagi.

Berbicara lanjut tentang kariernya sebagai pempengaruh media sosial, pemilik nama sebenar Adeline Anthony Primus Tsen yang memiliki 903,000 pengikut Instagram mengakui tidak pernah terfikir untuk memberi komitmen secara serius dalam bidang pencipta kandungan.

Masih segar dalam ingatannya sekitar empat tahun lalu, ketika peluang terjun ke dunia konten digital dan pengurusan bakat bergolek datang kepadanya.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman, Adeline menyahut cabaran berkenaan dengan membuka sebuah syarikat pengurusan bakat.

“Empat tahun lalu saya mendapat tugas mempromosikan sebuah syarikat hartanah terkenal, selepas itu mereka meminta saya membekalkan bakat-bakat baharu.

“Sejak itu, saya beranikan diri membuka syarikat pengurusan bakat dan sekarang pelanggan-pelanggan saya terdiri daripada syarikat serta jenama-jenama besar.

“Jika saya tidak ambil risiko empat tahun dahulu, mungkin saya tidak menjadi Adeline Tsen, seorang pempengaruh media sosial dan menguruskan bakat yang bebas bekerja dari mana-mana lokasi seluruh dunia seperti sekarang,” kongsinya.

Tambah Adeline, dia memilih menjadi pempengaruh media sosial dan membikin ‘travel vlog’ kerana minatnya yang suka melancong dan melihat budaya negara lain.

Hal ini kerana, kebanyakan trip pelancongan yang dihidangkan dalam akaun media sosialnya adalah atas urusan kerja mahupun kerjasama dengan pelbagai pihak.

“Saya suka melancong, jadi inilah kerja yang sangat sesuai dengan diri saya. Sebenarnya kebanyakan trip percutian saya adalah kerana urusan kerja selain terikat dengan sebuah syarikat penerbangan dan portal percutian.

“Kerja saya bukan setakat menyediakan kandungan untuk dimuat naik dalam media sosial sendiri tetapi juga perlu melakukan penggambaran serta menyediakan kandungan untuk kegunaan pelanggan seperti pihak hotel.

“Jadi, kebanyakan masa kerja saya akan berada di tempat-tempat percutian, sebab itulah sekarang saya perlu memilih karya tertentu sahaja untuk berlakon kerana jadual kerja saya sangat padat,” kata Adeline. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok