A. Aida bakar kereta demi Police File

DIHIMPIT sensasi dan kes mahkamah melibatkan dirinya dengan pelakon Amelia Henderson sama sekali tidak mengganggu fokus penerbit A. Aida menghasilkan karya berkualiti untuk tontonan umum.

Terbaharu, pemilik nama lengkap Zaidah Awang itu muncul dengan program dokumentari berbentuk drama jenayah dan penyiasatan berjudul Police File yang mula ditayangkan menerusi Salam HD (saluran 113 Unifi TV) setiap Isnin bermula hari ini (7 Ogos 2023).

Police File memaparkan lakonan semula (re-enactment) menjelaskan kronologi kejadian kes jenayah berprofil tinggi negara dari siasatan awal kes sehingga penghakiman iaitu hukuman yang akan dikenakan kepada penjenayah.

Penggambaran Police File berjalan dengan lancar, alhamdulillah. Bagaimanapun, ada beberapa adegan yang mencabar antaranya kereta terbakar. Kami terpaksa ‘gadaikan’ kereta betul-betul.

“Saya terpaksa beli satu kereta dan kemudian, bakar kereta tersebut sebab nak nampak ‘real’. Walaupun dokumentari ini lakonan semula tapi saya sebagai penerbit ingin berikan yang terbaik buat tontonan khalayak,” katanya kepada HibGlam.

KES jenayah kejam Mona Fendy yang pernah menggemparkan tanah air turut diungkapkan dalam Police File.

Ditebak pertanyaan tentang kes-kes jenayah berprofil tinggi yang diangkat dalam Police File, A. Aida menjelaskan, semua kes yang menjadi sorotan rakyat Malaysia didokumentasikan dalam rancangan terbabit.

Semua kisah benar kami angkat. Contohnya kes Mona Fandey, Datuk Sosilawati dan Canny Ong, apa sahaja kes pembunuhan yang menggemparkan negara ada dalam Police File.

“Kami temu bual sendiri pegawai penyiasat (IO) yang terlibat dalam kes-kes tersebut. Kemudian, kita lakonkan kembali,” ujar anak seni kelahiran Kemaman, Terengganu itu.

Bukan sengaja mengorek kembali kisah-kisah jenayah atau pembunuhan berprofil tinggi Malaysia, A. Aida mempunyai alasan tersendiri mengapa menerbitkan rancangan atau dokumentari berjudul Police File.

Katanya, usahanya menerbitkan Police File adalah untuk memberikan pengajaran buat ramai termasuk membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah pasukan polis terbaik dunia.

“Selain bermesej positif, saya juga ingin buktikan bahawa PDRM adalah salah satu pasukan polis terhebat dunia serta mereka selesaikan semua kes diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Sebenarnya, saya dapat idea untuk terbitkan Police File sebab selalu tengok drama forensik dan jenayah seperti CSI: Crime Scene Investigation.

“Saya terfikir kenapa kita tidak buat macam apa yang dipaparkan CSI sebab polis Malaysia pun salah satu polis terbaik dunia. Saya yakin boleh terbitkan seperti CSI maka lahirkan Police File,” ujarnya lagi.

Police File merupakan sebuah dokumentari berunsurkan penyiasatan jenayah yang dilakonkan semula (re-enactment) dan atas alasan itu, penerbit menghormati apa yang menjadi garis panduan yang ditetapkan pihak terlibat termasuk pasukan PDRM.

“PDRM beri kerjasama yang baik untuk menghasilkan Police File. Cuma, kita tidak boleh sesuka hati dedahkan atau guna nama sebenar mereka terlibat.

“Macam Mona Fendy kita angkat fokal penyiasatan ‘bomoh kerat 18’ atau benda-benda begitu demi menjaga sensitiviti pihak terlibat namun masih dapat rasa ‘real’ dokumentari ini,” katanya lagi.

Police File mula bersiaran secara eksklusif bermula hari ini setiap hari Isnin menerusi saluran 113 Unifi TV (Salam HD) pukul 8.30 malam.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok